berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Kisah Si Pencari Tuhan - Hakikat Iman

Tersebutlah satu kisah bahawa sewaktu Nabi Musa AS telah sampai di negeri Mesir setelah kembali dari negeri isteri Baginda di Madyan, maka Baginda telah menyampaikan risalah ke Rasulannya dan ajaran-ajaran agama yang telah diterima dari Tuhannya sewaktu menyendiri di bukit Tursina (Sinai) di lembah Thuwaa dengan ayat-ayat dalam kitab Taurat.


Dimulainya seruan ini kepada kaumnya Bani Israil di samping menghadapi Firaun dengan kaumnya yang memerintah Mesir waktu itu. Yang menjadi pokok ajaran Nabi Musa sama saja dengan asas ajaran segala Nabi SAW dan Rasul sebelum dan sesudahnya. laitu:Bahawa kamu menyembah Allah dan janganlan kamu persekutukan-Nya dengan sesuatu pun!


Akhirnya sampailah seruan dan ajaran Nabi Musa ini ke satu negeri kecil yang jauh terpencil di hulu sungai Nil. Nama negeri itu Qiryah.Adapun penduduk negeri ini antara seribu ke tiga ribu orang yang kebanyakannya terdiri dari suku-suku Bani Israil. Di antara orang-orang beriman yang tinggal di sana termasuklah seorang pemuda yang bernama Abdullah Syarafi. Pemuda tersebut tidak berasa puas hati sekadar beriman begitu saja kepada Allah SWT, malahan timbul keinginan dalam dirinya untuk mengetahui nyata siapakah sebenarnya Allah, Tuhan yang akan disembahnya nanti.


Perasaan ini mengganggu benaknya siang dan malam. Akhirnya beliau membuat satu keputusan. laitu dia akan pergi ke Mesir untuk menemui Nabi Musa AS supaya dapat bertanyakan halnya itu.


Qiryah ialah satu negeri yang jauh. Perjalanan ke Mesir memakan masa berhari-hari dengan menempuhi berbagai kesukaran mendaki bukit-bukau, merentasi hutan rimba yang tebal, penuh dengan binatang buas, melintas pula padang pasir tandus yang kering kontang. Semua itu sudah terbayang di kotak ingatannya. Tetapi adakah itu semua menghalang beliau untuk meneruskan niatnya. Sama sekali tidak. Abdullah Syarafi terus bersiap-siap dan pada satu saat dan hari yang dikiranya baik, lalu mulalah beliau mengatur langkah seorang diri.



Sesudah menempuh beberapa hari perjalanan, kini hutan rimba menanti di hadapannya. Hutan rimba itu merupakan suatu pemandangan yang mengerikan. Sunyi dari suara manusia. Beliau terus melangkah semakin jauh ke tengah hutan rimba.Tiba-tiba, beliau dikejutkan oleh satu pemandangan yang menakutkan sekaligus amat menyedihkan. Apa yang ditemuinya ialah sekujur tubuh manusia yang sudah dianiayai. Tubuh yang cuma tinggal badan dan kepala itu terlantar di bawah satu pohon. Kedua-dua kaki dan tangannya telah dipotong. Dia tidak dapat bergerak lagi kemana walaupun sekadar untuk mengiring ke kiri atau ke kanan. Kaki dan tangannya yang sudah terpisah itu telah hampir reput dan penuh dikerumui ulat, lalat dan bermacam-macam binatang kecil yang memakan bangkai. Demikianlah keadaannya sehingga tiada apa lagi yang dinanti melainkan maut sahaja. Pemandangan itu amat mengharukan perasaan Abdullah Syarafi.



Namun! Satu perkara sangat mengejutkan beliau. Dilihatnya beratus-ratus ekor semut bergotong royong mengusung dengan susah payahnya akan buah-buah hutan. Dengan perlahan-lahan buah hutan itu dibawa hingga ke mulut insan yang malang itu. Lalu dapatlah dia makan dan menyambung sisa-sisa nyawa yang masih ada. Kepada Abdullah Syarafi lalu diceritakan kisah dirinya hinggalah beliau jadi begitu sengsara. Katanya, semua itu berpunca dari perbuatan satu kumpulan penyamun yang telah merampas harta bendanya. Kemudian diceraikan pula kaki tangannya dan ditinggalkan di dalam hutan itu sejak lima hari yang lalu.


Hanya Allah SWT saja yang tahu betapa besarnya kesengsaraan yang ditanggungnya. Tetapi rupanya, ajal belum ditakdirkan untuknya lalu digerak Tuhan akan ratusan semut-semut untuk membawakan buah hutan sebagai rezekinya. Itulah makanannya sejak terlantar tidak berkaki dan tidak bertangan. Abdullah Syarafi pun menceritakan hal ehwal dirinya dan tujuannya untuk ke Mesir. Setelah habis diceritakan lalu orang itu berkata: “Kalau begitu, tolonglah tanyakan kepada Nabi Musa, sesudah sampai begini rupa kekejaman orang terhadap diriku, maka adakah aku akan masuk syurga dengan menanggungnya?” “Baiklah,” balas Abdullah Syarafi dengan perasaan yang hancur luluh, lalu dia pun meminta izin untuk menyambung perjalanannya.Abdullah Syarafi pun meneruskan perjalanannya yang masih jauh itu.



Beberapa hari kemudian, beliau terserempak dengan kumpulan penyamun yang telah menzalimi lelaki malang yang ditemuinya sebelum itu. Rupanya Abddulah telah memasuki kawasan ‘sarang’ penyamun. Didapatinya mereka amat garang, bengis dan tidak ada tanda bersifat belas kasihan di wajah mereka. Sembilan orang semuanya.Mulanya mereka hendak merampas barang-barang yang ada pada Abdullah, tetapi bila tidak mereka temui sesuatu pun yang berharga, lalu mereka bercadang untuk membunuhnya. Berkata Abdullah, “Jikalau kematianku ada guna dan manfaatnya kepada tuan-tuan semua, maka bunuhlah hamba.” Tenang saja Abdullah menuturkan kata-katanya. Tidak ada rasa takut sedikit pun kerana beliau yakin bahawa Allah yang sudah dipercayainya diimaninya itu tidak akan membiarkan hal itu berlaku jika ianya memang tidak ditakdirkan atas dirinya.



“Tetapi,” sambung Abdullah lagi, “Menurut fikiranku, tiada gunanya sama sekali tindakan tuan-tuan. Bahkan hanya akan mendatangkan kesusahan dan jadi beban pula kepada tuan-tuan. Kerana jika aku tuan-tuan bunuh, terpaksa pula mayat aku ditanam. Bermakna tuan-tuan terpaksa menggali tanah. Alangkah banyaknya kerja tuan-tuan hanya untuk menguruskan sekujur mayatku.” Abdullah Syarafi memerhatikan riak di wajah mereka. Kata-katanya memberi kesan terus ke hati mereka. “Atau, jika tuan-tuan ingin membuang mayatku dari sini, tentulah terpaksa pula mengheret mayatku sekian jauh. Jikalau tidak, maka akan terganggulah tempat tuan-tuan ini oleh sebab busuknya bau mayatku nanti. Maka jelaslah, jika tuan-tuan tetap akan membunuhku, hanya akan menyusahkan diri tuan-tuan juga.Sedangkan manusia diberi akal oleh Tuhan. Supaya dapat dengannya kita menimbang buruk baiknya sesuatu yang akan dikerjakan. Adakah ia memberi faedah atau sebaliknya. ..”


Demikianlah Abdullah Syarafi terus berbicara hingga mulalah dia menceritakan hal ehwal dirinya dan tujuan dia menempuh perjalanan yang penuh bahaya itu. Selanjutnya berkata Abdullah, “Tuan-tuan, selama mana pun manusia hidup, akhirnya. akan mati juga. Dan kelak sesudah mati, tiap-tiap manusia akan menghadapi pengadilan Tuhan. Menerima hukuman atas segala kejahatan yang telah dilakukannya. Jadi, bertaubatlah tuan-tuan dan berhentilah dari kejahatan ini sementara pintu dan jalan untuk taubat masih terbuka.” Demikianlah Abdullah mengakhiri nasihatnya. Dengan kehendak Allah jualah, maka segala tutor kata dan nasihat Abdullah Syarafi yang bersungguh-sungguh dian dengan penuh ikhlas itu rupanya menyelinap masuk ke dalam hati mereka langsung meresap masuk ke dalam perasaan keinsafan.


Lantas berbicara seorang dari mereka. “Bagaimanakah kami akan bertaubat Sedangkan dosa-dosa kami sudah terlalu amat banyak. Sudah sekian banyak harta benda manusia yang kami rampas, kami samun. Belum lagi dihitung penganiayaan yang telah kami lakukan terhadap mereka. Adapun nyawa manusia sahaja, sudah sembilan puluh sembilan yang terbang melayang. Tetapi, meskipun demikian, memang kami telah mempunyai rasa takut terhadap azab-azab Allah di akhirat kelak. Oleh kerana tuan hamba akan pergi bertemu Nabi Musa, maka tolonglah tanyakan keadaan kami ini. Adakah Allah akan menerima taubat kami ini.. ?” “Baiklah, akan hamba tanyakan kepada Nabi Musa,” jawab Abdullah Syarafi dan dia pun meneruskan perjalanannya.


Selanjutnya, tinggal satu pertiga saja lagi perjalanannya, Abdullah Syarafi sedang melewati padang pasir yang tandus pula. Terdapat bukit-bukit berbatu-batan di beberapa tempat. Tiba-tiba, beliau terserempak pula dengan seorang perempuan yang tinggal dalam sebuah gua batu. Perempuan setengah umur itu didapatinya tinggal di situ seorang diri. Wanita separuh umur itu sedang tekun beribadah ketika Abdullah Syarafi terpegun melihatnya dengan rasa kagum. Takala dia sudah selesai dari solatnya dan mendapati ada seorang pemuda tercegat di pintu guanya maka terkejutlah dia seraya membentak, “Siapa kamu? Apa yang kamu mahu? Adakah kamu hendak mengganggu ibadatku di sini?” “Tidak! Sama sekali tidak bahkan hamba tidak tahu menahu adanya tuan hamba di sini. “Jawab Abdullah dengan tenang saja. Dan tidak langsung terlintas dalam benaknya untuk berlaku jahat. “Tapi hamba amat hairan. Sebab melihat keadaan tuan hamba yang sendirian di sini. Jauh dari manusia dan tekun pula beribadah. Tidakkah tuan hamba berasa takut tinggal seorang di sini? Bahkan hamba pada mulanya menyangka tuan hamba ini entahkah jin atau peri yang menghuni tempat ini. Bolehkah tuan hamba menceritakan mengapa tuan hamba berada di sini?” “Tuan hamba pula dari mana dan apa tujuan?” Tanya perempuan itu pula.


Lalu untuk kali ketiganya, Abdullah Syarafi pun menceritakan hal ehwal dirinya dari mula dia beriman dengan risalah yang disampaikan oleh Nabi Musa AS hinggalah dia menempuh perjalanan yang serba sukar, bahaya dan meletihkan itu. Setelah itu perempuan itu pula menceritakan hal ehwal dirinya. Maka fahamlah oleh Abdullah bahawa perempuam itu berada di situ kerana mahu mengasingkan dirinya dari manusia untuk melakukan ibadatnya dengan tekun. Tidak diganggu oleh sesiapa. Dia juga berasal dari Mesir. Sudah bersuami dan punya beberapa orang anak. Tetapi lantaran berasa khuatir, semua itu akan menghalanginya dari melakukan ibadat kepada Tuhannya, maka dia pun ber’uzlah’ ke tempat sunyi itu. “Hamba senang berada di sini.” Tambah wanita itu lagi, “Asyik beribadat. Siang berpuasa. Malam beramal. Hidup hamba kini semata-mata untuk Tuhan dan hamba tidak lagi rasa khuatir akan terganggu oleh urusan rumah tangga, suami dan anak-anak juga masyarakat dan oleh kerana tuan hamba akan pergi bertemu Nabi Musa, tolonglah tanyakan kepada Baginda, adakah Tuhan menerima sekelian ibadat dan amal hamba ini dan memasukkan hamba ke dalam syurga-Nya lantaran demikian banyaknya amalan hamba ini.” “Baiklah. Akan hamba tanyakan.”


Lalu Abdullah Syarafi pun mohon izin dan dia pun berlalu dari situ, Tiada lama kemudian, sampailah dia di Mesir dan setelah dapat berjumpa dengan Nabi Musa AS maka segeralah dia menyatakan maksud kedatangannya yang hendak mencari Tuhan supaya biar tentu benar siapa Allah Tuhan yang hendak disembahnya itu. Sebelum dia menutup kisah dirinya, sempat dia menyampaikan pertanyaan-pertanyaan yang dipesankan oleh mereka yang ditemuinya semasa dalam perjalanan. Jawab Nabi Musa AS: “Wahai Abdullah Syarafi! Engkau fikirkanlah dan renungkanlah akan sifat-sifat dan makhluk bekas kekuasaan Allah SWT itu. Jangan sekali-kali engkau memikirkan zat Nya. Kerana engkau tidak akan sama sekali dapat memikir-Nya walau bagaimama sekali susah payahnya engkau.


Tetapi sentiasalah engkau akan menemui bukti kewujudan Allah itu pada semua bekas kekuasaannya yakni kejadianNya. Lihatlah alam yang terbentang ini. Termasuk juga kejadian dirimu sendiri, adalah menjadi saksi dan bukti akan adanya Tuhan. Dari mana engkau dan semua makhluk yang ada telah datang dan ke manakah nanti akan pergi?


Wahai Abdullah Syarafi, jangankan hendak menemui wujudnya Zat Tuhan itu yang memang sudah sengaja dighaibkan oleh-Nya kepada kita semua sekarang ini. Entah mungkin nanti dizahirkan-Nya di akhirat, kalau memang hijab sudah diangkatNya. Bahkan sesuatu yang ada dalam tubuhmu yang kamu sendiri pasti akan adanya dan kamu dapati bekas-bekas dan kesan perbuatanya, itupun tidak dapat kamu melihatnya. Yakni ruh kamu sendiri. Maka apatah lagi Zat Dia yang telah mengadakan segalanya itu!


Jikalau Allah SWT menzahirkan Zat-Nya kepada kita ummat manusia sekarang ini… maka apalah gunanya lagi tugas kami sebagai Rasul utusan-Nya ini. Sedangkan kami ini menyampaikan khabar-khabar ghaib yang wajib diimani dipercayai itu?Maka bukankah telah nyata bahawa ghaibnya Zat Tuhan dijadikan suatu ujian bagi keimanan seseorang hamba.” Termenung. Terpegun dan bungkamlah Abdullah Syarafi mendengar huraian yang sangat tepat dari Nabi Musa AS itu. Terus meresap ke dalam relung-relung kesedaran jiwanya akan segala kebenaran yang dituturkan oleh RasuluLlah Musa AS itu.


Dan dia mendengar lagi huraian-huraian selanjutnya bagi tiga persoalan yang dibawanya. “Adapun kemudian dari itu, sehubungan dengan tiga jenis pertanyaan dari tiga golongan yang telah engkau temui itu, beginilah keterangannya.Adapun yang ditimbulkan oleh Hakikat Iman seseorang manusia itu, ialah adanya empat macam sifat pada dirinya: Dua yang wajib diingati dan dua yang wajib dilupakan.



Maka dua yang wajib diingati ialah jasa-jasa orang terutama nikmat Allah terhadap dirinya. Dan kedua, ialah kesalahan- kesalahan dan kejahatann dirinya terhadap orang lain, terutama dosa-dosanya terhadap Allah. Serta dua macam yang wajib dilupakan, ialah jasa-jasa dan kebaikan dirinya kepada orang lain, termasuklah amal-amal dan ibadatnya kepada Allah.


Serta yang kedua, akan kesalahan-kesalahan dan kejahatan orang terhadap dirinya.Dari itu, wahai Abdullah Syarafi, adapun orang yang engkau temui menderita di dalam rimba itu sengsara dengan sebab kekejaman-kekejaman dan aniaya orang ke atas dirinya, maka ia telah mengingat-ingati barang yang wajib dilupakan. Dan sebaliknya dia telah melupakan apa yang wajib diingati. Diingat-ingatinya kejahatan penyamun yang dialaminya, tetapi ia melupakan jasa-jasa semut yang telah disuruh Allah untuk menghantarkan makanan ke mulutnya. Maka dengan demikian itu dia tidak mempumyai “Hakikat Iman”, dan dari itu tidaklah akan masuk syurga.


Begitu pula tentang perempuan yang engkau temui mengasingkan diri ke tempat yang sunyi itu. Ketahuilah bahawasanya agama itu disyariatkan Tuhan kepada umat manusia, ialah untuk membawakan ajaran dan petunjuk-petunjuk hukum bagi mereka, bagaimana adanya peraturan hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia. Nyatalah dengan tindakannya mementingkan dirinya meninggalkan rumah tangga, suami dan anak-anak serta masyarakatnya itu, suatu tindakan putus asa, yang dengan sendirinya dia telah merosakkan ajaran agamanya sendiri kerana ia telah memutuskan hubungannya dengan manusia. Padahal, menanggung kesusahan kerana perhubungan demgan manusia itu, baik berupa hubungannya dalam melayani kepentingan suami sendiri, anak-anak atau masyarakatnya, adalah yang demikian itu termasuk amal dan ibadat juga baginya. Dan itu juga termasuk ajaran-ajaran agama kepada manusia.


Dan lagi sebabnya Tuhan mengharamkan bunuh-membunuhnya dan peperangan terjadi, ialah kerana akibatnya memusnahkan isi dunia, memutuskan perhubungan antara manusia dan memutuskan keturunan. Sedangkan tujuan Tuhan ialah supaya dunia ini diramaikan dengan manusia. Maka kalau sama sajalah pendapat segala manusia dengan perempuan itu, yang lelaki tidak hendak beristeri dan yang perempuan tidak pula hendak bersuami lagi, maka tentulah dengan sendirinya, paling lama sesudah satu keturunan yang akan datang ini, akan putuslah keturunan manusia, mereka akan musnahlah dari permukaan bumi. Dari itu, samalah dosanya dengan membunuh orang ramai.


Lagi pula yang dikehendaki oleh Hakikat-lman, ialah melupakan jasa-jasa diri, termasuk amalan dan ibadat kepada Tuhan. Maka sikap perempuan itu menunjuk-nunjukkan ibadatnya, seakan-akan ia telah berasa cukup mengadap Tuhan dengan ibadatnya itu. Teranglah dengan demikian, dia pun tidak mempunyai Hakikat-lman. Kerana itu dia tidak akan masuk syurga, malahan masuk ke dalam golongan isi Neraka.


Tetapi tentang penyamun yang sembilan orang itu, mereka telah mengakui kesalahan-kesalahannya. Bahkan mereka telah saling merasa takut akan hukum siksaan, akibat daripada dosa-dosanya itu. Maka justeru kerana itulah mereka telah bertanya tentang taubat kepada aku. Jikalau tiada kerana keinginannya hendak bertaubat itu, tentulah mereka tidak akan bertanya sedangkan Allah SWT. tidak pernah menutup pintu taubat buat sekalian hamba-Nya (kecuali dosa syirik), sekalipun banyaknya dosa-dosanya itu memenuhi ruang langit.



Dari itu, dengan demikian merekalah yang mempunyai Hakikat Iman. Dan jikalau mereka meneruskan taubatnya itu, maka merekalah yang akan masuk syurga ….

Wednesday, September 25, 2013

Perang Tabuk (4)


Ustaz Abu Muhammad Harits,
24 Sep 2013
Kisah tiga sahabat yang ketinggalan perang

Rasulullah SAW bersama pasukan muslimin mulai mendekati kota Madinah. Beberapa penduduk kota berlarian menyambut baginda, begitu juga wanita dan anak-anak yang hendak menyambut beliau, suami dan ayah-ayah mereka. Anak-anak itu dengan gembira mendendangkan nyanyian:

Telah muncul purnama kepada kami dari Tsaniyatil Wada’…

Kemudian Rasulullah SAW memasuki masjid dan solat dua rakaat. Demikianlah kebiasaan beliau setelah melakukan perjalanan jauh.

Setelah itu, mulailah berduyun-duyun orang-orang yang tertinggal menemui baginda mengajukan uzur tidak ikut serta dalam perang Tabuk. Sebahagian dari mereka diterima oleh baginda dan urusan batinnya diserahkan kepada Allah SWT.

Antara sahabat, ada beberapa orang yang sengaja mengikat tubuh mereka di tiang-tiang masjid. Rasulullah SAW melihat mereka dan bertanya, “Siapa yang mengikat dirinya di tiang ini?”

Sahabat lain menjawab, “Itu Abu Lubabah dan teman-temannya, oleh sebab mereka tidak ikut perang bersama Anda, wahai Rasulullah. Mereka ingin Rasulullah sendiri yang melepaskan mereka.”

Rasulullah SAW berkata, “Demi Allah, saya tidak akan melepaskan dan tidak pula menerima uzur mereka, sehingga Allah sendiri yang melepaskan mereka. Mereka tidak suka ikut bersamaku, dan tidak mahu berperang bersama kaum muslimin.”

Ketika sampai perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat-sahabat tersebut, mereka berkata, “Kami pun tidak akan melepaskan diri kami hingga Allah sendiri yang melepaskan kami.”

Kemudian turunlah firman Allah SWT:

“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampuradukkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah at-Taubah : ayat 102)

Setelah ayat ini turun, Nabi SAW pun menemui mereka, melepaskan tali yang membelit mereka dan menerima uzur mereka. Tak lama, mereka datang menemui Rasulullah SAW sambil membawa harta mereka dan berkata, “Wahai Rasulullah, inilah harta kami. Bersedekahlah dengan harta ini dan mintakanlah ampunan untuk kami.”

Beliau menjawab, “Saya tidak diperintah mengambil harta kalian.” Lalu turun ayat:

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.” (Surah at-Taubah : ayat 103)

Kemudian, datang pula tiga orang sahabat yang mulia; Ka’b bin Malik, Hilal bin Umayyah, dan Murarah bin Ar-Rabi’,. Mereka tidak ikut mengikat diri mereka bersama Abu Lubabah dan teman-temannya. Mereka merasa tidak punya alasan yang memberatkan hingga tertinggal dari Rasulullah SAW. Mereka hanya menyampaikan bahawa mereka tidak ikut serta. Akhirnya, Rasulullah SAW menyerahkan urusan mereka kepada Allah SWT.

Kejadian ini, sepenuhnya kita serahkan kepada penuturan sahabat yang mulia Ka’ab bin Malik RA berikut ini.

Saya tidak pernah tertinggal dari Rasulullah SAW dalam peperangan yang baginda lalui kecuali perang Tabuk. Walaupun saya pernah tertinggal dari perang Badr, tapi Rasulullah SAW tidak mencela saya dan siapapun yang tertinggal, kerana waktu itu kami mengira Rasulullah SAW keluar hanya untuk menghalang kafilah dagang Quraisy, hingga akhirnya Allah SWT mempertemukan beliau dengan musuh-musuhnya tanpa kesepakatan sebelumnya.

Sungguh, saya telah ikut bersama Rasulullah SAW pada malam Aqabah ketika kami sangat yakin kepada Islam. Saya tidak suka malam itu digantikan dengan peristiwa Badr, meskipun Badr lebih dikenang orang daripada malam itu.

Saya belum pernah merasa lebih kuat sama sekali dan lebih mudah daripada keadaan saya ketika tertinggal dari beliau dalam perang (Tabuk) tersebut. Demi Allah, saya belum pernah mengumpulkan dua kendaraan sama sekali dalam sebuah peperangan kecuali perang Tabuk. Biasanya, apabila hendak berangkat berperang, Rasulullah SAW melakukan tauriyah (berbuat atau mengatakan sesuatu untuk mengalihkan perhatian) dengan hal-hal yang lain.

Setelah melakukan persiapan, walaupun serba minimum (kekurangan), kerana pada waktu itu adalah musim panas yang sangat buruk, kenderaan dan perbekalan serba kurang, Rasulullah SAW berangkat juga. baginda memerintahkan kaum muslimin agar mempersiapkan perlengkapan perang mereka. Baginda SAW menyampaikan taklimat ke mana arah yang beliau tuju dan lawan yang akan dihadapi, sehingga banyak yang menyertai Rasulullah SAW.

Kata Ka’ab selanjutnya, “Ada yang ingin mengelak dan mengira pasti akan dapat bersembunyi dari beliau selama tidak turun wahyu Allah tentang dia.”

TIDak lama, ketika buah-buahan mulai masak, naungan mulai rimbun, Rasulullah SAW pun berangkat diikuti oleh kaum muslimin. Saya datang pagi-pagi untuk bersiap-siap bersama mereka, lalu pulang tetapi tidak melakukan apa-apa.

Saya berkata dalam hati, “ Saya dapat segera menyiapkannya.”

Pagi harinya Rasulullah SAW dan kaum muslimin sudah mulai bergerak. Tetapi, saya masih belum mempersiapkan diri sedikitpun. Saya berkata dalam hati, “ Saya akan mempersiapkan diri sesudah satu atau dua hari ini lalu menyusul mereka.”

Saya pun datang pagi-pagi, lalu kembali lagi sesudah mereka berangkat. Saya pulang dan belum juga berbuat apa-apa.

Saya datang dan pergi lagi tanpa melakukan sesuatu. Hal ini berlangsung terus-menerus sampai pasukan semakin jauh dari kota. Saya mulai bertekad menyusul mereka.

Duhai, kiranya saya memang melakukannya, namun belum juga ditakdirkan untuk saya. Suatu hari, saya keluar di antara orang banyak sesudah Rasulullah SAW dan pasukan muslimin berangkat. Saya pun berkeliling. Sungguh menyedihkanku, ternyata saya tidak melihat siapa-siapa kecuali orang-orang yang tertuduh munafik, atau orang-orang lemah yang diberi uzur oleh Allah SWT

Rasulullah SAW tidak menyebut-nyebut nama saya sampai beliau tiba di Tabuk. Setelah berada di Tabuk, mulailah beliau bertanya ketika duduk-duduk di antara pasukan, “Apa yang dikerjakan Ka’b?”

Salah seorang dari Bani Salimah berkata, “Wahai Rasulullah, dia ditahan oleh dua burdahnya dan melihat betapa bagusnya burdah itu.”

Mu’adz bin Jabal RA menukas, “Alangkah buruknya ucapanmu. Demi Allah, wahai Rasulullah. Kami tidak mengetahui tentang dia kecuali yang baik-baik saja.” Rasulullah SAW pun diam.

Kemudian, Ka’b bin Malik melanjutkan, - Ketika sampai berita bahwa Rasulullah SAW dan kaum muslimin bersiap-siap untuk kembali, muncullah keinginanku mencari-cari helah. Saya berkata dalam hati, ‘Dengan apa kira-kira saya dapat lari dari kemarahan baginda nanti?’ Saya pun meminta saranan daripada semua keluargaku.

Tatkala diberitakan bahawa Rasulullah SAW sudah mulai kembali, hilanglah kebatilan (kebohongan). Saya pun tahu, tidak akan mungkin lari dengan sedikit pembohongan saja dari baginda selamanya. Akhirnya, saya bersikap jujur kepada baginda.

Esok harinya, Rasulullah SAW dan pasukan pun sampai di Madinah. Penduduk berduyun-duyun menyambut beliau. Biasanya, kalau baru tiba dari musafir beliau selalu singgah lebih dahulu di masjid dan solat dua rakaat, kemudian duduk menghadapi orang ramai yang datang mengajukan uzur dan meminta maaf atas ketertinggalan mereka. Setelah itu, datanglah orang-orang yang tertinggal itu dan mulailah mereka mengajukan alasan serta bersumpah. Jumlah mereka sekitar 80 orang. Rasulullah SAW menerima alasan mereka, membai’at, dan memintakan ampunan buat mereka serta menyerahkan rahsia mereka kepada Allah SWT.

Saya datang menemui beliau dan mengucapkan salam. Beliau berkata, “Kemarilah!” Saya pun melangkah sampai duduk di hadapan beliau, lalu beliau berkata, “Mengapa engkau tertinggal? Bukankah engkau sudah membeli kendaraan?”

Kata saya, “Betul. Sungguh, demi Allah, wahai Rasulullah. Seandainya aku duduk dengan orang lain di dunia ini, pastilah Anda melihat saya akan lari dari kemarahannya dengan satu alasan. Sungguh, demi Allah, saya diberi kemampuan berdebat. Tetapi demi Allah, seandainya saya berbicara kepada Anda hari ini dengan satu pembohongan, lalu Anda meredai saya, pastilah Allah SWT akan membuat Anda marah kepada saya. Sungguh, seandainya saya berbicara kepada Anda dengan jujur, nescaya Anda melihatnya ada pada saya. Saya betul-betul berharap keampunan Allah SWT dalam masalah ini.

Tidak. Demi Allah, saya tidak punya uzur sama sekali. Saya tidak pernah merasa lebih kuat dan lebih mudah sama sekali dibandingkan ketika saya tertinggal dari Anda.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Adapun dia ini, sudah berbuat jujur. Berdirilah sampai Allah SWT memberi keputusan tentangmu.”

Saya pun berdiri, dan berdatanganlah orang-orang Bani Salimah menyusul sambil mengatakan, “Demi Allah, kami tidak pernah lihat engkau berbuat kesalahan sebelum ini, engkau sungguh lemah. Mengapa engkau tidak meminta uzur kepada Rasulullah SAW sebagaimana orang-orang yang tertinggal meminta uzur kepada beliau? Sudah cukup dosamu itu dengan Rasulullah SAW memintakan ampun untukmu.”

Demi Allah, mereka terus-menerus mendorong saya sampai saya berkeinginan rujuk dan mendustakan diri sendiri. Kemudian saya katakan kepada mereka, “Apakah ada orang yang mengalami keadaan seperti ini bersama saya?”

Kata mereka, “Ya, ada dua orang. Mereka mengucapkan hal yang sama seperti engkau dan dikatakan kepada mereka seperti yang diucapkan kepadamu.”

Saya pun bertanya, “Siapa mereka?”

Kata mereka, “Murarah bin Ar-Rabi’ Al-‘Amri dan Hilal bin Umayyah Al-Waqifi.” Mereka menyebutkan dua orang soleh yang pernah ikut perang Badr. Ini adalah teladan bagiku. Saya pun tetap melanjutkan sikap saya setelah mereka menyebut dua orang soleh ini.

Rasulullah SAW mulai melarang kaum muslimin berbicara dengan kami bertiga di antara orang-orang yang tertinggal. Akhirnya, orang ramai mulai menjauhi kami. Keadaan pun berubah, sampai saya merasa diri saya asing di bumi ini (Madinah). Seolah-olah tanah (Madinah) ini bukan seperti yang saya kenal. Dan kami merasakannya selama 50 hari.

Kedua sahabatku merasa hina dan hanya terduduk di rumah mereka sambil menangis. Sedangkan aku yang lebih muda dan lebih tabah, selalu keluar dan ikut solat bersama kaum muslimin, berkeliling di pasar-pasar dalam keadaan tidak seorang pun mengajakku berbual. Saya mencuba mendatangi Rasulullah SAW untuk mengucapkan salam kepada baginda ketika baginda duduk di majlisnya selepas solat.

Saya bertanya dalam hati, “Apakah beliau menjawab salamku atau tidak?” Saya berusaha solat di dekat beliau sambil mencuri-curi pandang. Kalau saya menekuni solat saya, beliau menghadap ke arahku. Tapi kalau saya menoleh ke arah beliau, beliau melihat ke arah lain.

Sampai ketika saya merasakan keterasingan. Saya berjalan lalu memanjat pagar rumah Abu Qatadah. Dia adalah sepupu saya dan orang yang paling saya cintai. Saya mengucapkan salam kepadanya, tapi demi Allah, dia tidak menjawab salam saya.

Saya pun berkata, “Wahai Abu Qatadah, saya sumpahi engkau demi Allah, bukankah engkau tahu bahawa saya mencintai Allah dan Rasul-Nya?” Dia tetap diam. Saya ulang menyumpahinya, tapi dia diam. Saya pun mengulangi lagi.

Akhirnya, Abu Qatadah berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”

Air mata saya mulai berlinang. Saya pun mundur dan turun dari pagar itu.

Abu Qatadah tidak mengatakan ya atau tidak. Sepatah kata tidaklah dianggap bicara. Bagaimana Ka’ab tidak menangis, saudara sepupu yang sangat dicintainya, tidak menjawab salam dan pertanyaannya, padahal dia sudah menuntutnya dengan sumpah, yang jelas-jelas sebagai perkara ibadah. Di samping itu, pertanyaan Ka’ab dengan sumpah itu sama ertinya menuntut sebuah persaksian. Akan tetapi, Abu Qadatah tidak mahu bersaksi walaupun dia mengetahui Ka’ab mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Suatu hari, tatkala saya sedang berjalan di sebuah pasar kota Madinah, tiba-tiba seorang dari penduduk Syam yang biasa membawa makanan untuk dijual di Madinah bertanya, “Siapa yang boleh menunjukkan saya kepada Ka’ab bin Malik?”

Orang ramai serentak menunjuk ke arah saya. Akhirnya dia menemui saya dan menyerahkan sepucuk surat dari Raja Ghassan.

Ternyata isinya, “Amma ba’du,… Sebetulnya sampai berita kepadaku bahawa temanmu (Muhammad) memulaukanmu. Allah tidak akan menjadikanmu tetap di tempat yang hina dan tersia-sia. Datanglah kepada kami, nescaya kami memuliakanmu.”

Akan tetapi, Ka’ab adalah orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya. Dalam keadaan dipulau, terasing, dan tidak diajak bicara, bahkan oleh keluarga yang sangat dicintai, kalau saja beliau orang yang lemah iman, tentu dengan segera menyambut tawaran itu.

Setelah membacanya saya pun berkata, “Ini juga musibah,” lalu saya menyalakan tungku dan membakarnya.

Demikianlah seharusnya yang dilakukan oleh orang yang ingin menyelamatkan diri dari fitnah: menghancurkan sesuatu yang menjadi sebab timbulnya fitnah bagi dirinya.

40 malam berlalu. Tidak lama, datang utusan Rasulullah SAW menemui saya dan berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan engkau agar menjauhi isterimu.”

Saya bertanya, “Apakah saya harus menceraikannya atau apa yang saya lakukan?” Katanya, “Tidak. Engkau hanya diperintah agar menjauhinya dan jangan mendekatinya.” Seperti itu juga yang disampaikan kepada dua sahabat saya itu.

Kemudian saya katakan kepada isteri saya, “Kembalilah kepada keluargamu. Tinggallah di sana sampai Allah memutuskan perkara ini.”

Kata Ka’ab, “Datanglah isteri Hilal bin Umayyah menemui Rasulullah SAW, lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Hilal bin Umayyah seorang laki-laki renta dan tidak punya pelayan. Apakah Anda tidak suka kalau saya melayaninya?” Kata beliau, “Tidak, tapi dia tidak boleh mendekatimu.”

Wanita itu berkata, “Sungguh, demi Allah, dia tidak ada keinginan lain kepada sesuatu. Demi Allah, dia terus menangis sejak awal kejadian ini sampai hari ini.”

Sebahagian keluarga saya berkata, “Sebaiknya engkau minta izin kepada Rasulullah SAW tentang isterimu sebagaimana diizinkan untuk isteri Hilal bin Umayyah agar dia melayanimu.”

Saya pun berkata, “Demi Allah, saya tidak akan minta izin untuknya kepada Rasulullah SAW. Apa kira-kira yang akan saya katakan, seandainya saya minta izin kepada Rasulullah SAW, padahal saya seorang pemuda?”

Akhirnya, tinggallah saya dalam keadaan demikian selama 10 hari, sampai genap 50 hari sejak Rasulullah SAW melarang kami semua.

Satu bulan lebih, wahyu tidak juga turun. Itulah salah satu rahsia hikmah Allah Ta’ala dalam setiap urusan besar, sehingga kaum muslimin benar-benar merasa rindu kepada wahyu itu.

Selesai solat subuh pada hari terakhir (ke-50), ketika saya sedang berada di atas loteng rumah, persis seperti diterangkan Allah, “Jiwa terasa sesak, dan bumi pun terasa sempit, padahal dia begitu luasnya,” saya mendengar suara teriakan, dia berteriak sekeras-kerasnya, “Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah!”

Saya pun sujud syukur. Saya tahu, telah datang kelapangan dan Rasulullah SAW memberitahukan adanya taubat dari Allah SWT atas kami ketika solat subuh. Kaum muslimin berduyun-duyun memberi ucapan selamat kepada saya dan dua sahabat itu. Ada seseorang datang dengan berkuda, ada pula dari bani Aslam berjalan cepat ke arah saya. Sedangkan suara lebih cepat dari kuda. Setelah pemilik suara itu datang, saya melepas baju saya dan memberikannya kepada orang itu sebagai hadiah atas berita gembira tersebut. Padahal, demi Allah, saya tidak punya baju lain selainnya pada hari itu. Akhirnya, saya meminjam sehelai baju dan mengenakannya lalu berangkat menemui Rasulullah SAW. Orang-orang pun berduyun-duyun mengucapkan selamat kepada saya, kata mereka, “Selamat, kerana taubatmu diterima oleh Allah.” Hal itu berlangsung sampai saya masuk ke dalam masjid. Ternyata Rasulullah SAW sudah dikelilingi oleh para sahabat lain.

Tiba-tiba Thalhah bin ‘Ubaidullah berlari kecil menyambut dan menyalami saya sambil mengucapkan selamat. Demi Allah, tidak ada satu pun Muhajirin yang berdiri selain dia. Saya tidak akan melupakan hal ini dari Thalhah.

Demikianlah keadaan mereka, iaitu orang-orang yang mencintai untuk saudaranya apa yang dicintainya untuk dirinya. Mereka tidak iri atau dengki atas kelebihan yang Allah SWT limpahkan kepada saudara mereka, iaitu turunnya wahyu yang agung menerangkan bahwa taubat mereka diterima. Bahkan, mereka mengucapkan selamat sampai Ka’ab masuk ke dalam masjid.

Kata Ka’ab, “Setelah saya mengucapkan salam kepada Rasulullah SAW, baginda berkata dengan wajah berseri-seri, ‘Bergembiralah dengan sebaik-baik hari yang telah engkau lewati sejak engkau dilahirkan ibumu’.”

Rasulullah SAW benar, karena Allah telah menurunkan taubatnya dan taubat kedua temannya dalam Al-Qur’an yang dibaca. Rabb semesta alam yang mengucapkannya dan menurunkannya kepada Muhammad, terpelihara dengan perantaraan Jibril dan terjaga sampai hari kiamat.

Tidak seorang pun selain para nabi, atau orang-orang yang disebut oleh Allah SWT dalam al-Qur’an yang kisahnya terpelihara seperti kisah Ka’ab dan dua sahabatnya. Kisah ini abadi dan senantiasa dibaca dalam Kitab Allah SWT, di mihrab, di mimbar, dan di mana-mana pun. Siapa yang membaca kisah ini, dia memperoleh 10 kebaikan dari setiap huruf al-Qur’an yang dibacanya.

Ka’ab melanjutkan, “Wahai Rasulullah, apakah ini dari engkau atau dari sisi Allah SWT?”

Kata baginda, “Dari sisi Allah.” Dan kalau Rasulullah SAW gembira, wajahnya bersinar laksana bulan purnama.

Setelah duduk di hadapan baginda, saya berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya sebagai bukti taubat, saya menyerahkan harta saya untuk sedekah kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Rasulullah SAW berkata, “Simpanlah sebahagian hartamu, tentu itu lebih baik.”

Kata saya, “Sesungguhnya, saya menahan bahagian yang saya peroleh dari Khaibar.”

Kemudian saya berkata lagi, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah menyelamatkan saya tidak lain kerana kejujuran. Termasuk taubat saya juga, saya tidak akan berbicara kecuali yang benar selama saya masih hidup.”

Demi Allah, saya tidak melihat ada seorang muslim yang Allah SWT beri ujian dalam hal kejujuran—sejak saya menyebutkan hal itu kepada Rasulullah SWT—yang lebih baik daripada yang diberikan kepada saya.

Belum pernah pula saya sengaja berdusta sejak mengatakan hal itu kepada Rasulullah SAW sampai hari ini. Sungguh, saya berharap Allah SWT memelihara saya dalam sisa-sisa umur saya.

Allah SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka, dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” (Surah at-Taubah : ayat 117—119)


Demi Allah, tidak pernah Allah Subhanahuwata’ala memberi nikmat kepadaku yang lebih besar bagi diri saya—sesudah memberi saya hidayah kepada Islam—daripada kejujuran kepada Rasulullah SAW; saya tidak akan berdusta kepada beliau, yang akibatnya saya binasa sebagaimana binasa mereka yang berdusta. Sungguh Allah SWT berfirman tentang orang-orang yang berdusta itu, karena menurunkan wahyu lebih buruk daripada kepada yang lain.

Allah SWT berfirman:

“Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka; kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka Jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu reda kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu reda kepada mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda kepada orang-orang yang fasik itu.” (Surah at-Taubah : ayat 95—95)


Dan kefasikan adalah sebab tidak diperolehnya keredaan Allah.

Kata Ka’ab, “Dahulu kami bertiga ditunda dari mereka yang diterima oleh Rasulullah SAW ketika mereka bersumpah kepada beliau, lalu beliau membai’at serta memintakan ampunan untuk mereka. Rasulullah SAW menunda persoalan kami sampai Allah memutuskannya. Itulah firman Allah Subhanahuwata’la:

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka….” Maknanya bukan tertinggal dari peperangan, tapi ketertinggalan kami dan penundaan beliau terhadap urusan kami dari mereka yang telah bersumpah kepada beliau dan mengajukan alasan lalu beliau terima.”

Beberapa kesimpulan dari kisah ini;

1.Seorang muslim boleh menceritakan dosanya sesudah taubat agar membangkitkan semangat orang lain untuk bertaubat, apalagi bila dosa itu tersebar dan diketahui orang banyak. Adapun dosa yang sifatnya rahsia atau yang terang-terangan tapi belum bertaubat, tidak boleh diceritakan agar tidak mendorong orang lain berbuat seperti itu, dan diapun menjadi golongan orang-orang yang mujaharah (terang-terangan berbuat dosa).
2.Seorang mukmin merasakan kepedihan ketika mengabaikan sebuah kewajiban.
3.Seorang mukmin tidak akan mengejek saudaranya, tetapi membelanya, seperti yang dilakukan Mu’adz bin Jabal RA terhadap Ka’b RA.
4.Memutuskan hubungan adalah ubat yang ampuh untuk mengembalikan orang-orang yang menyimpang kepada kebenaran. Larangan yang ada berlaku dalam urusan dunia, atau melampiaskan kejengkelan.
5.Mukmin yang sempurna tidak akan menjual agamanya, walaupun diberi dunia dan seisinya.
6.Sujud syukur ketika memperoleh kelapangan, seperti yang dilakukan Ka’ab.

Sumber:    http://salafy.or.id


Monday, September 9, 2013

RATAPAN ROH SEBAIK SAJA KELUAR DARI JASAD

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata:

                "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".
Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu:"Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

                 Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu:"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh".
Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.
Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan:"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya"

                 Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan:"Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung arahanku". "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

                  Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari kubur dan duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu.Maka mayat itu menjawab:"Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".

                 Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan berdoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur pada mukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

                   Baginda Rasullullah S.A.W berkata:"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain lalu masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

                 Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat >terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S.

               Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya".

                 Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T."

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.
Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain."

                  Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T., maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

                 Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."  Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut roh orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

                Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

                 Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.


Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadhan

3. Orang yang berpuasa di hari Arafah.

Sumber : http://mr-tazkirah.blogspot.com/2007/05/pesan-roh.html"