berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Saturday, October 16, 2010

SUJUD TILAWAH DAN SUJUD SYUKUR

SUJUD TILAWAH DI LUAR SEMBAHYANG

Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.

Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”

Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.

Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:

Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”

Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.

Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)

Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.

Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.

Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)

BACAAN ATAU ZIKIR KETIKA SUJUD TILAWAH

Adalah sunat hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan itu ialah:

Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”

Dan zikir yang lain sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya : “Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”

(Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :

Ertinya: “Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”

Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:

Ertinya:“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)

APA DIA SUJUD SYUKUR ITU ?

Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.

HUKUM SUJUD SYUKUR

Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :

“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.

Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:

Tafsirnya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.

BAGAIMANA SUJUD SYUKUR DILAKSANAKAN ?

Sujud syukur dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan juga salam.

Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.

Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.

Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.

Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.

PENUTUP

Sujud tilawah dan sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud tilawah. Dari itu, sayugialah diingatkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.

Thursday, October 7, 2010

MAKNA BACAAN-BACAAN DALAM SOLAT

Makna bacaan dalam solat.
Untuk renungan bersama:

Assalamualaikum wbt,
Segala puji bagi Allah ,Tuhan yang menciptakan kita dari air yang hina sehingga menjadi bayi seterusnya menjadi manusia. Tetapi apabila dewasa atau matang kenapa kita melawan segala suruhan Nya . Adakah kita tidak mengenang budi?  Allah yang menciptakan dan dengan rezeki yang kita dapat setiap hari dan menberikan udara utk kita bernafas setiap hari tidakkah kita berfikir atau bersyukur dengan segala anugerahNya? Jadi dalam kesempatan ini saya sebarkan/forwardkan makna bacaan solat yang kita baca setiap hari untuk dijadikan renungan dan ikibar yang boleh diamalkan .

Allah Maha Besar
Doa Iftitah
 
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
 
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. 

Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. 

Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. 

Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.
Al-Fatihah

1. Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
 
2. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. 

3. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. 

4. Yang menguasai hari pembalasan. 

5. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. 

6. Tunjukilah kami jalan yang lurus. 

7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.


Bacaan ketika rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.


Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku,
angkatlah darjatku, rezekikan daku,  berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

1. Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. 

2. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya. 

3. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. 

4. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
 
5. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
 
1. Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. 

2. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. 

3. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. 

4. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah..
 
5. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
 
6. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
 
7. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
 
1. Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. 

2. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
 
3. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
 
4. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
 
5. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
 
6. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
 
7. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
 
8. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
 
9. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
 
10. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
 
11. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
 
BERDOALAH KITA WAHAI SAUDARAKU:

“wahai tuhan ku,aku tak layak utk ke syurgaMu …namun tak pula aku sanggup ke NerakaMu.. ..kami lah hamba yang mengharap belaskasihan dariMu" ,  "Ya Allah jadikanlah kami hamba-hamba mu yang bertaqwa, ampunkan dosa-dosa kami, kedua-dua ibubapa kami, dosa semua umat Islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal
dunia”
Sumber: arkib taman-taman syurga. Dihantar oleh shania18 pada 8/11/08,  edit semula oleh penulis blog ini. harap dapat manfaat bersama. wassallam.


Saturday, May 8, 2010

TANDA- TANDA AWAL SEBELUM KEMATIAN BAGI ORANG ISLAM

ARTIKEL INI DIAMBIL DARI FB MOHD AZIZI. TERIMA KASIH

Apabila tajuk ini dihuraikan maka ramai dikalangan kita sukar untuk membaca disebabkan ketakutkan penghuraian ini akhirnya MATI.
Firman Allah SWT; Bermaksud; "Bagaimana kamu kufur (ingkar) dengan Allah dan adalah kamu itu mati maka kamu dihidupkan, kemudian kamu dimatikan kemudian kamu dihidupkan kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan" (Surah Al-Baqarah : Ayat 28)

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud .Cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulullah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.

Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya.
Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.
Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.
Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.
Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.
Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.


Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.
Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.
Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari sebelum mati
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari sebelum mati
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri.
Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.
Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.
Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masukke dalam.
Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda Akhir
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.
Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


PENUTUP
Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.
Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh Mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain.
Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semoga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat. Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.


Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak 5 Ucapan

1. Aku rumah yang terpencil, maka akan senang dgn selalu membaca Al-Quran.
2. Aku rumah yg gelap, maka terangilah aku dgn selalu sembahyang malam.
3. Aku rumah penuh tanah dan debu, bawalah amal soleh yg menjadi hamparan.
4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.
5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nankir, maka banyaklah bacaan "Laa illallah, Muhammadur Rasulullah" supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

Thursday, May 6, 2010

4 PERKARA YANG MAMBAHAGIAKAN

4 perkara yang membahagiakan manusia hadis riwayat Ali

radialahhuanhu. Sabda Rasullulah SAW., "4 perkara yang

membahagiakan manusia ketika hidup di dunia , iaitu

mempunyai isteri yang soleh, mempunyai anak yang soleh,

dikelilingi oleh orang- orang yang soleh, sentiasa mudah

mengerjakan amalan soleh."

From Rozidi Jaafar

Wednesday, March 24, 2010

PARA TETAMU YANG INGIN MEMBUAT PERKONGSIAN DIMINTA MENYEDIAKAN ARTIKEL YANG BAIK TERLEBIH DAHULU, SETELAH ITU SILA POST KEPADA: shoruzi@gmail.com ; SELEPAS ITU KAMI AKAN EDIT MANA YANG PERLU DAN KEMUDIAN 'PUBLISH'.

EPISOD KEMUSNAHAN SEDANG DERAS MELANDA NEGARA


1. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [JPN] Datuk Alwi Ibrahim telah mendedahkan peningkatan Anak Luar Nikah [ALN] yang didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Negara: [ Berita Minggu : 21 Mac ]

a] 2007 : 16,100 anak Luar nikah
b] 2008 : 16,541 anak luar nikah
c] 2009 : 17,303 anak luar nikah

2. Datuk Alwi juga menyebut bahawa dalam tempoh 5 tahun terakhir Jabatan Pendaftaran Negara telah mencatatkan 74,723 anak luar nikah yang membabitkan orang melayu Islam .

[ Fakta ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ]

3. Sepanjang tempoh yang sama [ 5 tahun ] , seramai 214,033 bayi luar nikah didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf termasuk kes anak yang tidak berbapa dari pelbagai bangsa dalam negara kita .

4. Fakta yang saya paparkan ini satu lagi episod kebinasaan dan kemusnahan yang sedang deras melanda negara . Membunuh sistem nilai dan memasung maruah ummah . Segalanya angkara nafsu yang tidak dipandu oleh wahyu . Hidup dalam satu sistem politik dan sosial yang terhindar dari petunjuk Allah swt dan pedoman sunnah Rasulullah saw.

5. Sistem pendidikan , perumahan , pembangunan , IT , media dan lainnya yang sangat jelas serta ketara tidak menepati syarat dan sistem Islam adalah antara penyumbang utama kepada keruntuhan moral dan akhlak . [ sebagai contoh ....]

Pendidikan : Tidak menitik beratkan pentarbiyyah untuk melahirkan insan yang soleh dan bermoral . Nilai agama dan moral tidak menjadi asas utama dalam memburu kecemerlangan akdemik .

Perumahan : Rumah murah 2 bilik tidak sesuai untuk rakyat kerana menyumbang kepada gejala sumbang mahram serta susun atur kawasan perumahan yang tidak islamik sebagai contoh kawasan perumahan yang tidak disediakan surau oleh pemajunya dan pusat pengajian agama tambahan serta kawalan akhlak dan moral selain warden yang menjaga keselamatan tetangga .

Pembangunan : Hanya memburu keuntungan sehingga dalam satu daerah biarpun majoriti muslim masih dibenarkan kedai - kedai jualan arak dan kondom secara terbuka seperti seven eleven dan pertumbuhan kelab malam , karaoke , rumah urut yang tidak terkawal tumbuh bagai cendawan selepas hujan .

6. Seperkara lagi yang saya lihat tidak kurang juga pentingnya ialah kegagalan pihak berwajib menjalankan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran [ an Nahyu a'nil mungkar ] . Seketika , nasib pelacur , mak nyah lebih baik dari penceramah agama dan pendakwah yang sering diburu kerana tiada tauliah . Demikian juga nasib kelab malam dan pusat hiburan yang mendapat cop "halal" oleh pihak berkuasa tempatan nyata lebih baik dari masjid dan surau yang tidak dibenarkan menganjur majlis - majlis ilmu .

7. Apa yang berlaku ialah al amrul bil mungkar wa nahyu a'nil makruf ! Khatib yang membaca khutbah tanpa tauliah dari jabatan agama meskipun mendapat ijazah dari universiti Islam senantiasa dalam resah dan gusar diburu oleh penguatkuasa agama berbanding rasa selamat dan selesanya mereka yang langsung tidak hadhir solat jumaat .

8. Setiap kali dipersoal , pihak penguatkuasa ini sering menggunakan hujjah arahan orang atas !
Tentunya orang atasan ialah orang yang berkuasa iaitu kerajaan yang memerintah . Malang bagi sebuah kerajaan yang memiliki kuasa dan mandat rakyat tidak menggunakannya untuk membasmi maksiat dan mungkar tetapi sebaliknya menunjukkan sikap anti agama atau anti Islam . Islam yang mereka mahu ialah Islam yang boleh kompromi dengan maksiat dan mungkar .

[ contoh : Masjid dibina tetapi Kelab Malam juga dibina . Musabaqah Al Quran dianjur tetapi Akademi Fantasia juga dianjur . Peluang pekerjaan disedia tetapi pusat - pusat judi juga disediakan dan banyak lagi contoh contoh lain .]

9. Bukan tidak tegur dan bukan juga tidak dinasihati , tetapi mereka sukar memahami . Kita telah menghantar memorundum , kita telah menegur dalam kunjungan hormat kita , kita juga sudah sebut dalam dialog , wacana ilmiah , debat , khutbah , kuliah , ceramah bahkan demonstrasi . Kita juga menegur mereka secara rasmi di dalam Parlimen , Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri tetapi semuanya tidak membuahkan hasil . Mereka hanya memekakkan telinga dan menggulung lidah .

10. Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk bangkit berjuang bagi menyelamatkan negara dari kebinasaan dan kemusnahan ini dengan membuat desakan agar syariat Islam dilaksana dan didaulatkan . Ianya adalah satu desakan berasas setelah semua pihak menyaksikan kegagalan total sistem peraturan dan undang - undang ciptaan manusia .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian penulis blog dan penulis blog tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

DIPETIK DARI : http://episodeperjuangan.blogspot.com

Friday, February 26, 2010

TELADANI SIFAT RASULULLAH UNTUK CEMERLANG

Teladani sifat Rasulullah untuk cemerlang: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam mencontohi serta mengambil teladan empat sifat Nabi Muhammad SAW iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia ciri penting untuk mencapai kecemerlangan.

Perdana Menteri berkata, empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasi bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif.

"Maka sudah tentulah pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan yang kita lakukan," kata Najib dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah esok.

Najib berkata, agenda Rasulullah yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman.

"Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah dalam mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat yang jahil, bersengketa dan berpecah-belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati.

"Oleh itu, sempena kita memperingati Maulidur Rasul ini, bersamalah kita merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh," katanya.

Najib juga berkata, dalam sirah perjuangan Rasulullah, tiada kejayaan yang mudah diperolehi oleh Baginda dan sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh berstrategi dan konsisten.

Beliau berkata, peristiwa Peperangan Khandak telah membuktikan bahawa Rasulullah dan sahabat Baginda menggunakan minda yang efektif melalui mesyuarat untuk merancang dan bertindak secara kolektif dan kreatif melalui kepelbagaian strategi.

"Maka dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah telah berjaya mengalahkan pihak musuh," katanya.

Najib berkata, sebaliknya dalam peperangan Uhud, oleh kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin dan tiada perancangan yang sistematik, maka mereka telah menerima kekalahan.

"Sesungguhnya Allah SWT telah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya perancangan yang strategik dalam menentukan kejayaan.

"Iktibarnya, kita juga telah memfokuskan beberapa perancangan dan misi besar untuk memaju dan memakmurkan negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Wawasan 2020.

"Gagasan 1Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020. Manakala MEB dan RMK-10 adalah komitmen dan landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya tahun 2020.

"Justeru, kehidupan rakyat mestilah beriltizamkan konsep Wasatiyah iaitu sederhana dan seimbang, pembahagian kekayaan secara adil dilakukan antara semua kaum agar Sawasiyah iaitu kesaksamaan dapat direncanakan secara holistik tanpa ada golongan yang ketinggalan dan terpinggir dalam arus kemajuan negara," katannya.

Najib berkata, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang unggul dan terbaik untuk diteladani.

"Akhlak, kewibawaan dan transformasi kepimpinan baginda tidak ada tolok bandingnya. Suri teladan Baginda seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada kita untuk mencapai kecemerlangan dan kekuatan ummah," katanya. - Bernama