berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Friday, February 26, 2010

TELADANI SIFAT RASULULLAH UNTUK CEMERLANG

Teladani sifat Rasulullah untuk cemerlang: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam mencontohi serta mengambil teladan empat sifat Nabi Muhammad SAW iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia ciri penting untuk mencapai kecemerlangan.

Perdana Menteri berkata, empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasi bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif.

"Maka sudah tentulah pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan yang kita lakukan," kata Najib dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah esok.

Najib berkata, agenda Rasulullah yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman.

"Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah dalam mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat yang jahil, bersengketa dan berpecah-belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati.

"Oleh itu, sempena kita memperingati Maulidur Rasul ini, bersamalah kita merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh," katanya.

Najib juga berkata, dalam sirah perjuangan Rasulullah, tiada kejayaan yang mudah diperolehi oleh Baginda dan sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh berstrategi dan konsisten.

Beliau berkata, peristiwa Peperangan Khandak telah membuktikan bahawa Rasulullah dan sahabat Baginda menggunakan minda yang efektif melalui mesyuarat untuk merancang dan bertindak secara kolektif dan kreatif melalui kepelbagaian strategi.

"Maka dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah telah berjaya mengalahkan pihak musuh," katanya.

Najib berkata, sebaliknya dalam peperangan Uhud, oleh kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin dan tiada perancangan yang sistematik, maka mereka telah menerima kekalahan.

"Sesungguhnya Allah SWT telah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya perancangan yang strategik dalam menentukan kejayaan.

"Iktibarnya, kita juga telah memfokuskan beberapa perancangan dan misi besar untuk memaju dan memakmurkan negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi mentransformasi dan membina negara bangsa, selain Gagasan 1Malaysia dengan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Wawasan 2020.

"Gagasan 1Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020. Manakala MEB dan RMK-10 adalah komitmen dan landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya tahun 2020.

"Justeru, kehidupan rakyat mestilah beriltizamkan konsep Wasatiyah iaitu sederhana dan seimbang, pembahagian kekayaan secara adil dilakukan antara semua kaum agar Sawasiyah iaitu kesaksamaan dapat direncanakan secara holistik tanpa ada golongan yang ketinggalan dan terpinggir dalam arus kemajuan negara," katannya.

Najib berkata, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang unggul dan terbaik untuk diteladani.

"Akhlak, kewibawaan dan transformasi kepimpinan baginda tidak ada tolok bandingnya. Suri teladan Baginda seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada kita untuk mencapai kecemerlangan dan kekuatan ummah," katanya. - Bernama