berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Tuesday, August 9, 2011

TAHAP KEIMANAN PENENTU ‘TAKUT’ KEPADA ALLAH



Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir
Disusun semula oleh Shohor Haroon

Waktu siang atau malam, di mana juga kita berada patut ditanamkan dalam hati rasa takut kepada Allah. Dengan kata lain, sepanjang masa kita hendaklah sentiasa berasa takut kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Berlakunya kemungkaran dan maksiat di sekeliling kita hari ini disebabkan oleh tiadanya rasa takut akan azab dan seksaan yang maha pedih dari Allah dalam hati mereka yang melakukannya. Ini menunjukkan mereka tidak takut sama sekali dengan Allah, Tuhan pencipta sekalian alam ini. Takut adalah sifat terpuji dan patut ada dalam hati setiap mukmin yang ingin mendapatkan takwa. Dengan adanya perasaan takut membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran yang mendatangkan dosa hingga menjerumuskan ke api neraka di akhirat kelak. Jika kita ada rasa takut kepada Allah, sudah pasti kita tidak akan berani melanggar perintah-Nya. Rasa takut akan mendorong seseorang itu benar-benar menghambakan dirinya kepada Allah. Semua perintah Allah akan dipatuhinya dan larangan ditinggalkannya.


KAEDAH:
Seorang ulama telah berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.” Walaupun Rasulullah SAW bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin Allah dengan syurga, di hati Baginda tertanam rasa takut kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu semua itu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri” (Surah al-Anfal, ayat 2).

Orang yang betul-betul kenal dan takut kepada Allah hanya lahir di hati mereka yang mempunyai sikap tawakal atau penyerahan pada Allah. Dengan kata lain, hanya orang beriman saja yang akan dapat merasai rasa takut itu. Ibn Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Ada dua mata yang tidak disentuh api neraka, iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut kepada Allah dan mata yang celik kerana terjaga dalam peperangan di jalan Allah.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika berasa gentar hati seorang mukmin kerana takut kepada Allah, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang runtuh dari pohonnya” (Dari kitab Tanbihul Ghafilin II).


TAHAP TAKWA:
Sebenarnya rasa takut kepada Allah ini bergantung kepada tingkat keimanan seseorang. Jika sekadar percaya adanya Allah tetapi tidak dapat berasakan takut kepada Allah, maka iman orang itu amat tipis dan lemah kerana tidak dapat berasa gerun kepada neraka serta azab Allah. Dengan kata lain, tidak ada rasa takut dan gerun kepada Allah menandakan hati seseorang itu telah mati. Al-Quran mengingatkan mengenai seksaan pedih bakal diterima orang yang derhaka (tidak takut) dan balasan nikmat bagi mereka yang melakukan kebaikan (takut). Lukman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Berharaplah kepada Allah dengan sesungguhnya sehingga kamu berasa aman dari tipu daya dan takutlah kepada-Nya supaya kamu tidak terputus dari rahmat dan kasih sayang-Nya.”


INDICATOR/PETUNJUK:
Secara umum kita dapat mengenal orang yang memiliki rasa takut kepada Allah melalui tanda seperti banyak membaca al-Quran, rajin mengerjakan solat wajib dan sunat, selalu membelanjakan hartanya di jalan Allah, mengeratkan silaturahim dan menjauhkan daripada perkara mungkar.


KESIMPULAN:
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah An-Naziat, ayat 40-41)

Monday, August 1, 2011

BETULKAN ‘MIND SETTING’ KITA TERHADAP PUASA, BUAT SEMUA KERANA ALLAH


SELAMAT BERPUASA.

Selamat berpuasa diucapkan kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Tahniah kerana anda adalah antara orang-orang  yang berpuasa.  Teruskan perjuangan hingga ke Ramadhan yang terakhir. Bulan ini adalah bulan yang penuh dengan keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada manusia yang beriman.

Puasa yang kita kerjakan ini adalah antaranya untuk menguji keimanan kita kepada Allah. Setakat manakah tahap iman kita kepada Allah.  Menjaga segala yang membatalkan puasa, ditambah pula dengan penjagaan panca indera kita dan ditambahkan lagi dengan kerja-kerja mendekatkan diri dan hati kepada Allah, maka kita tahu bahawa orang itu mempunyai iman yang kukuh serta mendapat kenikmatan dalam beribadat. Mereka tahu tujuan beribadat dan tidak lagi dipengaruhi oleh puji-pujian mansia. Ini adalah tahap puasa kategori ‘tinggi’.

Malangnya dalam kehidupan kita seharian kita sendiri boleh lihat ditempat kerja kita bahawa ada yang curi makan. Beli nasi bungkus (dalam plastic hitam selalunya). Padan juga dengan orang yang menjual nasi tersebut. Langsung tidak rasa berdosa. Nak kata mereka itu kerja kuat seperti buruh binaan tak juga. Kerja kat pejabat apalah teruk sangat. Jadi di mana iman mereka. Setakat mana iman mereka. Memang orang tak nampak semasa kita makan, tapi Tuhan Nampak. Tak malu ke ? Itulah, pokok pangkalnya ialah iman.

Sekiranya kita bekerja keras, tak boleh tahan, boleh pengsan kalau berpuasa, ok puasalah dahulu. Sehingga sampai kepada keadaan yang agak darurat baru berbuka. Kita boleh terima yang orang itu memang terpaksa. Tetapi jika dari awal lagi sudah set dalam otak yang kita tak mahu berpuasa sebab letih, tak boleh tahan maka keadan ini tak betul!  Bagaimana tahap iman kita pada waktu itu? Memang ada hukum diharuskan berbuka. Setakat mana kita berusaha untuk berpuasa itu lebih penting. Kalau nak dikira sibuk, tak ada relak, penat  maka tak boleh puasa lagi. Lain kali saya kadak (ganti) puasa tersebut. Rasanya bila. Bilakah kita akan berpuasa untuk ganti. Silap-silap sampai ke liang lahatpun kita tak ganti lagi. Ini semua adalah iman. Iman !

KESIMPULANNYA IALAH MIND SETTING KITA KENA BETUL, BUAT SEMUA KERANA ALLAH.