berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Wednesday, July 20, 2011

Amalan Puasa Sunat Syaaban Persiapan Tempuh Ramadan

Latihan awal pelengkap nilai tambah ibadat wajib

DETIK akhir Syaaban adalah proses pecutan terakhir menghadapi Ramadan. Dalam mana-mana pertandingan besar, latihan penting kerana tanpa latihan yang bersungguh, maka dikhuatiri persembahan terbaik menjadi luntur.
Begitu juga Ramadan, menghadapinya bukan isu biasa tetapi sesiapa yang gagal mengutip peluang keemasan pada Ramadan itu, celaka jawabnya. Walaupun ibadah wajib itu suatu yang dibudayakan, nilai tambah amalan sunnah dalam Ramadan peluang setahun sekali.
Sebab itu Nabi SAW mengaminkan doa dipohon Jibril AS ketika Baginda menaiki mimbar. Ketika itu Jibril berdoa: “Celaka seseorang yang masuk Ramadan, puasa pada siangnya dan solat pada malamnya kemudian meninggal dan tidak diampuni dosanya dan ia dimasukkan ke neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Justeru, langkah drastik perlu dilakukan untuk menghadapi Ramadan. Contohnya, latihan berpuasa sunat Syaaban ibarat ibadah solat sunat rawatib yang menjadi ‘pengapit’ solat fardu, sebelum dan sesudahnya.

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lathaif Al-Ma'arif: “Seperti solat rawatib adalah solat yang mempunyai keutamaan kerana ia mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya, demikian puasa Syaaban kerana puasa Syaaban sangat dekat dengan puasa Ramadan; maka puasa itu mempunyai keutamaan dan puasa ini boleh menyempurnakan puasa wajib pada Ramadan.”

Pada masa sama, ada banyak lagi riwayat sahih menunjukkan Nabi SAW memperbanyakkan puasa pada Syaaban seperti hadis Ummul Mukminin Aisyah: “Bahawasanya Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyatakan, Baginda tidak berbuka. Dan Baginda berbuka (tidak berpuasa) hingga kami menyatakan, Baginda tidak berpuasa.”

Jelas kepada kita Baginda mengkhususkan Syaaban untuk memperbanyakkan puasa dibandingkan bulan lain. Ini disebabkan bulan berkenaan sering dilupakan kerana berada antara Rejab dan Ramadan.

Kemuliaan puasa Syaaban dijelaskan dalam hadis Usamah Zaid: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan lain seperti engkau berpuasa pada Syaaban. Rasulullah menjawab: Bulan itu (Syaaban) adalah bulan yang dilupakan manusia, iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan. Bulan itu bulan diangkatnya amal manusia kepada Tuhan semesta alam. Aku suka amalku diangkat sementara aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan an-Nasaie)

Walaupun memperbanyakkan puasa Syaaban itu satu sunnah, timbul persoalan adakah disunnahkan berpuasa penuh sepanjang Syaaban kerana ada riwayat antaranya dari Ummu Salamah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Baginda pernah mencantumkan Syaaban dan Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)

Diriwayatkan Abu Daud: “Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa lengkap dalam mana-mana bulan dalam setahun kecuali Syaaban iaitu Baginda mencantumkannya dengan Ramadan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ulama berselisih pandangan dalam memahami hadis itu kerana ada mengatakan maksud sebenar berpuasa sepanjang Syaaban hanya dilihat dari aspek bahasa. Imam Ibn Hajar berkata, maksud Baginda berpuasa penuh sepanjang Syaaban ialah berpuasa hampir keseluruhannya saja.

Kemudian Ibn Hajar mengatakan, maksud keseluruhannya pada kebiasaan orang Arab bererti ‘hampir keseluruhan atau hampir kesemuanya’.

Kemudian timbul pula isu bolehkah berpuasa selepas pertengahan Syaaban. Perkara ini menjadi perselisihan ulama berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang maksudnya: “Jika sudah tiba pertengahan bulan Syaaban maka janganlah kalian berpuasa.” (Hadis riwayat al-Khamsah – Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah)
Pandangan kalangan Mazhab Syafie, menegah dari berpuasa bermula 16 Syaaban. Ada yang menganggap makruh malah ada menafsirkan larangan yang dimaksudkan di sini ialah haram sama sekali.

Bagaimanapun, aliran mazhab Syafie tidak mengharamkan secara menyeluruh. Pengharaman ini dikecualikan kepada mereka yang sudah biasa berpuasa sebelum pertengahan Syaaban sama ada berpuasa pada hari tertentu seperti Isnin dan Khamis.

Jumhur ulama pula membolehkan berpuasa selepas separuh Syaaban kerana mereka mengklasifikasikan hadis itu sebagai hadis daif. Antaranya Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in yang berhujjah hadis ini hadis mungkar kerana diriwayatkan oleh al-‘Alla’ bin Abdurrahman.

Turut mendaifkannya ialah al-Baihaqi dan al-Tahawi. Pendapat ini juga disokong oleh imam Mazhab Hanbali iaitu Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya al-Mughni.

Bagi yang memegang pandangan jumhur ulama, maka ia boleh berpuasa selepas separuh bulan Syaaban manakala yang melihat kehebatan hujah itu lebih tepat mengikut pandangan Mazhab Syafie dan ulama terkemudian, maka lebih baik ia meninggalkan berpuasa selepas separuh Syaaban.

Kecuali bagi mereka yang melazimkan puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa nazar dan puasa ganti. Begitu juga bagi mereka yang sudah mula berpuasa dari awal Syaaban. Namun penulis lebih kuat berpegang kepada pandangan kedua dari Mazhab Syafie dengan mengambil kata-kata dari Al-Qari:

“Larangan berpuasa separuh akhir Syaaban bertujuan menjauhi perkara buruk kerana ia adalah suatu rahmat kepada umat supaya mereka tidak menjadi lemah dalam menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan nanti. Tetapi bagi mereka yang berpuasa sepanjang Syaaban, sudah terbiasa dengan puasa dan ini tidak akan menyukarkan mereka melakukan ibadat itu.”

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Saturday, July 9, 2011

Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi

Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi


2011/07/09
KUALA LUMPUR: Kongres Profesor Negara yang berakhir semalam meluluskan 14 resolusi berdasarkan setiap kluster ilmu untuk membantu kerajaan menjayakan usaha transformasi negara seperti berikut:
  • Mengukuhkan dasar, proses perancangan dan tadbir urus sektor sumber asli dan alam sekitar; transformasi ekonomi yang disokong sistem pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan berasaskan sasaran keberhasilan konkrit dan jelas.
  • Kod tadbir urus sektor awam dan kaedah penguatkuasaan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan.
  • Pembangunan modal insan berpengetahuan dan kemahiran tinggi serta sistem keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dicadang bagi memastikan ICT menjadi pemacu utama transformasi.
  • Pengukuhan Polisi Inovasi Negara bagi memastikan kelestarian ekosistem inovasi tanpa sempadan iaitu membabitkan semua peringkat masyarakat bermula di sekolah hingga industri dan agensi kerajaan.
  • Bagi memastikan negara tidak terdedah kepada ancaman penyusutan sumber dan krisis tenaga, pembangunan kecekapan penggunaan tenaga, pengoperasian perkakasan, perancangan bandar dan pemerkasaan penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dicadangkan.
  • Sokongan padu terhadap penegasan dasar mengekalkan nisbah 60:40 bagi pelajar aliran sains berbanding pelajar bukan sains yang merosot pada tahap 20:80 ketika ini bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
  • Usaha menjana dan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains sosial disifatkan kritikal bagi membekalkan data sosial mencukupi untuk pelaksanaan transformasi negara.
  • Menekankan kepentingan sistem pendidikan diperkukuhkan menerusi pendekatan kesepaduan bermula pendidikan dasar hingga tertiari yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berorientasikan bakat, bukan peperiksaan.
  • Akses perkhidmatan kesihatan secara saksama dengan memberi keutamaan kepada aspek pencegahan penyakit secara menyeluruh dan berkesan.
  • Menitikberatkan kesepaduan sosial sebagai prasyarat untuk menjamin transformasi negara yang seimbang.
  • Bagi memartabat industri farmaseutikal, kerajaan dicadang mewujudkan keupayaan sebagai pengeluar ubatan halal bagi mengelak kebergantungan terhadap pasaran luar yang diragui kesesuaiannya dan boleh mengancam kesihatan rakyat.
  • Turut diusul bagi bidang kesihatan adalah masalah ketagihan dadah dipertanggungjawabkan bersama Kementerian Kesihatan kerana ia dikenal pasti sebagai penyakit.
  • Meminta kerajaan memastikan inti pati pembangunan dikawal sistem nilai budaya yang murni untuk mengelak penyelewengan, mengekalkan moral tinggi serta menegakkan prinsip keadilan sosial.
  • Bagi memastikan sekuriti makanan, negara dicadang memberi perhatian khusus kepada isu penggunaan tanah, koordinasi antara pelbagai kementerian dan agensi, dasar insentif, kebergantungan kepada buruh asing, mekanisme pemasaran, pemindahan teknologi, perubahan iklim, sumber air dan dana pelaburan.
  •   
  •  
  •  
  • KOMEN:
  • 14 PERKARA YANG DICADANGKAN ITU MEMANG HEBAT. KALAU DILAKSANAKAN DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH, NIAT YANG SUCI, SAYA SANGAT YAKIN NEGARA AKAN MAJU.

  • SATU CARA MUDAH UNTUK RAMAIKAN ORANG YANG ADA MASTER, PHD, PENYELIDIK, DAN LAIN-LAIN SENANG SAIA IAITU BERI INSENTIF YANG SEPADAN. RAMAI ORANG AKAN BELAJAR.TERUTAMA CIKGU-CIKGU. INI, BELAJAR SUDAH HABIS DUIT, BILA SELESAI PUN TAK ADA APA-APA JUGA. MANALAH ORANG NAK MINAT.
  •  
  • PERSOALAN KEDUA IALAH BERKENAAN DASAR 60:40.  PENURUNAN NISBAH KEPADA 20:80 DIFIKIRKAN ADA PERKAITAN  DENGAN CARA PENYAMPAIAN ILMU ITU SENDIRI YANG TIDAK BERKESAN. PEMBETULAN YANG DIBUAT SEKARANG ADALAH SANGAT BAIK.  PENERIMAAN SESUATU KONSEP ILMU BANYAK BERGANTUNG KEPADA KAEDAH PENGAJARAN YANG BERKESAN DAN TIDAK KURANG PENTINGNYA IALAH KESEDIAAN PELAJAR BAGI MENERIMA ILMU TERSEBUT.

  • KESEDIAAN PELAJAR YANG DIMAKSUDKAN IALAH PENGETAHUAN SEDIA ADA, DISIPLIN, MINAT, MOTIVASI ATAU AKHLAK PELAJAR TERHADAP GURU DAN ILMU ITU SENDIRI. CONTOHNYA KALAU DISIPLIN PELAJAR GAGAL DIBENTUK, KESEMUANYA AKAN GAGAL. PERCAYALAH.
  •  
  • DENGAN MELEDAKNYA TEKNOLOGI MAKLUMAT DIDAPATI GOLONGAN REMAJA SEKARANG LEBIH BANYAK MENUMPUKAN KEPADA HIBURAN, TENTULAH KECINTAAN KEPADA ILMU AKAN KURANG. SETERUSNYA PERGAULAN SEMAKIN BEBAS, CAKAP MERAPU, PENDEDAHAN AURAT DAN BERBAGAI LAGI. MEREKA NAMPAKNYA GAGAL SEIMBANGKAN ANTARA KEMAJUAN MATERIAL DENGAN KEMANTAPAN ROHANI.
  • SEPATUTNYA DISIPLIN INI JANGAN DIBEBANKAN KEPADA GURU-GURU SAHAJA, PIHAK LAIN JUGA HARUS MEMAINKAN PERANAN SEPERTI IBU BAPA, DAN MEDIA MASSA. ADA SEBILANGAN GURU TAKUT MEMAINKAN PERANAN. TIADA SIAPA YANG AKAN MEMBELA MEREKA JIKA SEDIKIT KESILAPAN BERLAKU. SEMUA LEPAS TANGAN. MASYARAKAT TELAH MELUPAKAN JASA GURU MALAH SELALU 'MENGHENTAM' GURU (BUKAN SEMUA). 
  •  
  • MOGA-MOGA NEGARA KITA YANG TERCINTA TERUS MAJU DENGAN ANAK BANGSA KITA SEBAGAI PERENCANA YANG UNGGUL.
  •  
  •  MAAF, SILA FIKIR-FIKIRKAN.