berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Sunday, May 11, 2014

Hudud dalam psiki masyarakat Cina



DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

Jiwa dan minda adalah perkara yang sangat penting kerana ia akan membuat tafsiran kepada logik yang akan menjadi sikap seseorang terhadap sesuatu isu. Banyak faktor yang mempengaruhi minda seseorang terhasil daripada persepsi yang diterimanya.

Artikel ini cuba meneroka jiwa dan minda dalam logik masyarakat Cina secara khusus merujuk kepad isu hudud yang hangat diperbincangkan mutakhir ini dalam usaha cuba memahami apa yang dibimbangi, dibincangkan dan dipolemikkan mengikut psiki (psyche) masyarakat Cina.

Psike Cina

kaum cina sokong pas oriPsiki atau situasi jiwa dalam dan minda sesebuah masyarakat berbeza daripada satu kaum kepada satu kaum yang lain. Situasi psiki banyak dipengaruhi oleh budaya yang diwarisi turun temurun serta nilai-nilai moral yang menentukan tindak-tanduk sesebuah masyarakat.

Masyarakat Cina mempunyai psikinya yang tertentu dan oleh kerana sejarah mereka yang panjang serta diaspora Cina tersebar ke seluruh dunia maka kehendak secara semulajadi memelihara budaya dan gaya hidup mereka dalam lautan masyarakat yang ada psikinya tersendiri menjadikan pertembungan budaya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perasaan yang disepakati bersama dalam masyarakat Cina ialah kebimbangan pencairan berlaku di atas sebab ‘pemaksaan secara sistematik’ sesuatu yang mereka tidak memahaminya.

Isu hudud perlu diletakkan dalam perspektif psiki ini dan ia tidak ada kena mengena penerimaan atau penolakannya atas sebab membenci Islam atau suka kepada Islam tetapi ia dihamparkan atas premis sama ada psike mereka dapat menerimanya atau tidak dan ia terpulang kepada sejauh mana kita dapat temukan psiki Melayu dan Cina di atas jalur dan kerangka yang lebih konstruktif dan objektif.

Psiki Bahasa Mandarin

Bahasa memainkan peranan penting untuk membentuk sesuatu kefahaman dan sebab itu setiap penghuraian konsep akan dimulakan definisi secara bahasa dan istilah. Istilah menerangkan secara tepat dan padat keseluruhan kerangka konstruktif kepada sesuatu konsep dan kategori-kategori yang kemudiannya dihuraikan.

Dalam isu hudud dan istilah Islamik yang lain, psiki Bahasa Mandarin yang terbenam dalam kefahaman pembacanya turut mempengaruhi cara mereka memahami sesuatu istilah.

Contohnya agama Islam dalam Bahasa Mandrin yang dipakai ialah “Hui Chjow” yang membawa maksud “agama kaum Hui”. Kaum Hui difahami sebagai etnik Cina yang memeluk Islam sejak zaman-berzaman.

Islam tidak dipakai dalam maksudnya yang asal tetapi dikaitkan kepada sesuatu etnik di negara China. Parti Islam SeMalaysia (PAS) contohnya diterjemahkan sebagai “Hui Chjow Tang” yang membawa maksud “Parti Agama Kaum Hui”.

Meskipun demikian, usaha-usaha untuk mempopularkan perkataan Islam secara terus dan literal iaitu “Ye Si Lan” dalam fonetik bahasa Mandarin sedang giatkan dilakukan. PAS juga mestilah dikenali dalam bahasa Mandarin sebagai “Ye Si Lan Tang” iaitu Parti Islam.  Ia penting kerana sesuatu perkataan itu mesti sampai mengikut psiki bahasa asalnya dan bukan psiki penterjemahnya.

Hudud

Memahami kebimbangan masyarakat Cina kepada undang-undang hudud ialah dengan kita cuba memahami terlebih dahulu apakah terjemahan kepada Bahasa Mandrin bagi istilah ‘hudud’.

Mereka menterjemahkannya sebagai “undang-undang memotong anggota badan” atau terjemahan terusnya “amputation law”. Walaupun sesetengahnya menterjemahkan kepada “undang-undang jenayah Islam” tetapi penggunaan yang awal itu digunakan disebabkan kebimbangan terhadap hudud.

Samada kebimbangan itu kerana dianggap kejam atau kebimbangan mereka turut ‘dipaksakan’ untuk menerimanya sebagai hukuman.

Bagi saya terjemahan yang lebih hampir pada roh pada semangat hudud adalah “undang-undang jenayah syariah” dan bukan “undang-undang memotong anggota badan”.

Apakah pula istilah “syariah” dalam bahasa Mandarin? Sedangkan istilah syariah membawa maksud panduan fiqah ke atas seorang Muslim dalam keperluan akidah, ibadah dan muamalatnya.

Hudud adalah aspek punitif kepada keseluruhan rangka syariah yang dimaksudkan. Apakah penghuraian ini diberikan keadilan dalam dalam psiki Bahasa Mandrin sekaligus memberi perspektif yang jauh daripada sekadar potong anggota badan atau mengkudungkan anggota badan?

Psiki bahasa yang agak rumit perlu kepada perbincangan akademik supaya Bahasa Mandarin yang dipengaruhi alam Melayu diberikan terjemahan yang lebih menyegarkan dan positif dalam memahami maksud bahasa asalnya.

Kebimbangan

Kebimbangan ada kepada semua anggota masyarakat dan ia menjadi lebih ‘real’ apabila konflik menuntut hak menjadi asas. Psiki masyarakat Cina amat membimbangi  bahasa, budaya dan adat resamnya terhapus dan cair.

bantuan-dap-pas-perlis-pix-650x400Kebimbangan ini terbawa-bawa kepada isu lain yang mereka anggap merampas hak mereka. Bukanlah sangat mereka mempertikaikan hudud hanya untuk orang Islam tetapi mereka sering mengaitkan apa situasinya apabila dua agama yang berlainan Islam dan bukan Islam didapati bersalah maka hanya yang Islam kena hudud  dan yang seorang lagi tidak kena hudud. Dualisme perundangan ini dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada pesalah.

Kebimbangan seterusnya ialah apakah jaminan bahawa mereka juga kelak tidak akan dikenakan di bawah undang-undang hudud?

Psiki masyarakat Cina kepada pemerintah juga hasil dari sejarah panjang interaksi mereka bawah pemerintahan dinasti China. Banyak pemberontakan yang berlaku atas nama menentang kerajaan yang tidak adil.

Sifat penentangan ini dalam diaspora masyarakat Cina diterjemahkan dalam perjuangan menuntut hak mereka melalui ruang demokrasi. Hudud bagi psiki politik mereka bukan agenda parti-parti yang mereka bawa ke dalam parlimen.

Mereka mahukan kerajaan yang korup tumbang dan cara mereka ialah menyokong parti yang dapat membawa hasrat ini.  Mereka ada hak untuk mempertikaikan hudud melalui parti yang mereka bawa masuk khususnya Pakatan Rakyat (PR) kerana masyarakat Cina mengundi hampir 80 peratus untuk calon PR.

Walaupun hudud di Kelantan tetapi suara yang hendak meluluskannya di Parlimen juga adalah suara mereka. Psike politik demokrasi hari ini adalah warisan sensitiviti dan keprihatinan mereka dalam hubungan dengan kerangka kuasa yang ada.

Pertembungan Psiki?

Saya tidak melihat isu hudud adalah isu Islam dan anti-Islam kerana ia terlalu simplistik dalam dunia yang penuh komplikasi hari ini. PAS khususnya harus mengurus isu hudud ini melampaui jalur hukum tetapi hendaklah merentasi jalur demokrasi, perundangan dan teknikalitinya serta lebih memahami psiki masyarakat selain Melayu bagi menemukan perjuangannya dalam konteks masyarakat plural hari ini.

Artikel awalan ini cuba untuk merentasi jalur psiki untuk mendalami masalah hudud bukan daripada psiki Melayu tetapi dari minda, jiwa dalam dan intelektual masyarakat Cina.