berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Friday, July 11, 2014

BOLEHKAH PEREMPUAN SEMBELIH BINATANG ?

DR USTAZAH ASIAH ALI | .

Sebarang soalan untuk ruangan Fiqh Wanita ini bolehlah di emel terus ke alamat editorharakahdaily@gmail.com

SOALAN:

Bolehkah perempuan menyembelih binatang - ayam dan sebagainya. Adik-beradik saya semuanya perempuan dan ayah saya telah meninggal dunia. Lagi satu, jika boleh, adakah boleh ketika sedang haid?

Mohon penjelasan ustazah.

JAWAPAN:

Hukum wanita menyembelih binatang adalah harus dengan syarat ia memenuhi ciri-ciri berikut:
1.Berakal sihat atau tidak gila,
2.Seorang yang mumayyiz ,
3.Seorang muslim
4.Menyebut nama Allah ketika  menyembelih,
5.Tidak disembelih atas nama lain selain Allah

Kaedah menyembelih mengikut syarak:
1.Membaca Bismillah
2. Membaca bersalawat ke atas nabi SAW
3.Menajamkan alat menyembelih
4.Mengadap kiblat
5.Memotong pada pangkal leher
6.Merebahkan badan haiwan ke kiri
7. Mempercepat proses pemotongan

SEDEKAH BAGI PIHAK SI MATI


DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

TIDAK ada khilaf dan pertikaian di kalangan ulama sebagaimana dinukilkan oleh Imam Ibnu Abdil Barr, Imam Nawawi, Imam Ibnu Taimiyah dan Imam Ibnu Qayyim bahawa sedekah orang yang hidup bagi pihak si mati memberi manfaat kepada si mati.

Antara dalilnya ialah hadis riwayat Imam Bukhari dan Abu Dawud daripada Sahabat Nabi SAW bernama Ibnu Abbas radiyallahu 'anhuma bahawa Sa'ad bin 'Ubadah radiyallahu 'anhu (1) bertanya kepada Nabi SAW;

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي تُوُفِّيَتْ وَأَنَا غَائِبٌ عَنْهَا فَهَلْ يَنْفَعُهَا شَيْءٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ قَالَ فَإِنِّي أُشْهِدُكَ أَنَّ حَائِطِيَ الْمِخْرَافَ صَدَقَةٌ عَلَيْهَا

Maksudnya: "Wahai Rasulullah SAW, Ibu saya telah mati ketika ketiadaan saya. Adakah memberi manfaat kepadanya sekiranya saya bersedekah sesuatu bagi pihak ibu saya?" Nabi mengiyakan.
Kata Sa'ad; Justeru, saya bersaksikan kamu wahai Rasulullah SAW bahawa kebun kurma saya menjadi sedekah atas pihak ibu saya".

(1) Sa' bin 'Ubaadah adalah pimpinan suku Khazraj di Yathrib dan meninggal di bumi Syam tahun ke 15 H.

Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Aisyah radiyallahu 'anha:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ ، وَأَنَا أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ أَتَصَدََّق ُ
عَنْهَا ؟ قَالَ : نَعَمْ " .

Maksudnya: "Seorang lelaki datang bertemu Nabi SAW dan berkata; wahai Rasulullah SAW, ibu saya telah meninggal secara mengejut sedangkan beliau tidak memberi sebarang wasiat. Saya rasa sekiranya dia boleh bercakap pasti dia bersedekah. Adakah beliau mendapat pahala sekiranya saya bersedekah bagi pihaknya? Baginda menjawab; "ya".

Amalan ini juga disokong oleh Hadis Sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah radiyallahu 'anhu bahawa Nabi SAW bersabda

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلا مِنْ ثَلاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: "Apabila mati seorang manusia terputuslah amalannya melainkan 3 iaitu sedekah jariyah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang sentiasa berdoa bagi dirinya."

Hadis diriwayatkan juga oleh Imam Tirmizi, Imam Abu Dawud, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad dan Ibnu Khuzaimah.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah radiyallahu 'anhu bahawa seorang lelaki berkata kepada baginda SAW;

إِنَّ أَبِي مَاتَ وَتَرَكَ مَالًا وَلَمْ يُوصِ فَهَلْ يُكَفِّرُ عَنْهُ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهُ ؟ قَالَ : نَعَمْ ٍ

Maksudnya: "Bapa saya telah meninggal dunia dan meninggalkan harta sedangkan dia tidak membuat sebarang wasiat. Adakah menjadi satu kaffarah bagi dosanya sedekah saya bagi pihaknya? Baginda SAW mengiyakan.

Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, hadis di atas mengandungi dalil keharusan dan galakan sunat bersedekah bagi pihak si mati dan pahalanya sampai dan memberi manfaat kepadanya di samping juga memberi manfaat pahala kepada orang yang bersedekah itu sendiri. Hukum ini telah disepakati oleh umat Islam.

Hadis-hadis ini menggambarkan hasrat tinggi anak-anak untuk melakukan kebajikan yang memberi manfaat kepada ibu bapa mereka yang telah meninggalkan dunia ini. Peluang mereka yang telah mati untuk beramal telah berakhir. Tinggal lagi anak-anak dan zuriat yang mempunyai kesedaran untuk memanjangkan pahala mereka dengan bersedekah.

Cukuplah ibu bapa berbakti menggembeleng tenaga dan harta di saat kita kecil lalu apakah pula kebaktian kita buat mereka melibatkan harta yang kita miliki hasil daripada usaha gigih mereka membesarkan kita?

Bersedekah bagi si mati menjadi satu amalan kebajikan si anak kepada ibu dan bapa yang telah pergi selain daripada doa yang berterusan. Ia termasuk di bawah umum gesaan Allah Taala dalam firman-Nya

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ

Maksudnya: "dan perhambakanlah diri kamu kepada Allah dan jangan mensyirikkan dengan-Nya  sesuatu dan dengan kedua ibu-bapa hendaklah dilakukan ihsan kebajikan." Surah al-Nisa ayat 36.

Hari ini begitu ramai anak-anak yang mewarisi harta benda seperti tanah dan wang tunai daripada ibu bapa mereka yang telah kembali ke rahmatullah hanya ghairah berebut dan mengagihkannya sesama pewaris dan dimanfaatkan untuk peribadi kehidupan dunia mereka. Apatah lagi sekiranya para pewaris sendiri tidak terlalu berhajat kepada harta warisan lalu dibiarkan beku tanpa dimanfaatkan.

Tidakkah mereka terfikir sekiranya sebahagian warisan itu disedekahkan dan diwakafkan bagi pihak ibu bapa mereka ia akan menjadi pahala yang panjang buat mereka yang telah pergi dan menjadi satu kebaktian anak-anak kepada ibu-bapa mereka.

Marilah kita menghidupkan sunnah ini, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang dijanjikan gandaan pahala ini. -