berilmu beramal

BERIMAN, BERILMU DAN BERAMAL ADALAH PERKARA PENTING UNTUK MENDAPAT KEREDAAN ALLAH SWT. HILANG SATU PERKARA, CACATLAH YANG LAIN.

Search This Blog

Monday, December 12, 2011

MENCARI REDHA ALLAH SWT


MENCARI REDHA ALLAH

KEADAAN MANUSIA DI PADANG MAHSYAR.
KITA DI GOLONGAN MANA???

  1. Sesetengah mereka ada yang berupa kera kerana di dunia mereka suka membuat     fitnah  kepada orang lain.

  1. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan rasuah ketika menjalankan hukuman.

  1. Ada yang buta mata kerana keterlaluan pada menghukum manusia.

  1. Ada yang pekak dan bisu kerana mereka hairan dengan amalan yang mereka lakukan

  1. Ada yang mulut mereka mengalir daripadanya nanah dan darah yang amat busuk dan sentiasa menikam-nikam lidah sendiri. Ini adalah kumpulan ULAMA yang bercakap dan mengajar tetapi perbuatannya tidak sama dengan apa yang diucapkan.

  1. Ada pula orang yang luka-luka seluruh badan kerana suka menjadi saksi bohong.

  1. Ada yang telapak kaki mereka terletak di dahi dan terikat pada ubun-ubun mereka serta menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada bangkai. Mereka adalah orang yang sanggup membeli dunia dengan akhirat (mencari kemewahan dunia dengan memperalatkan agama).

  1. Ada seperti orang mabuk, rebah ke kiri, rebah ke kanan terhuyung-hayang. Mereka inilah yang sanggup menyimpan harta dari belanjakan ke jalan Allah.

  1. Ada orang yang berkeadaan benar-benar mabuk, orang ini suka bercerita-cerita dalam masjid hal-hal dunia.

  1. Ada orang yang berupa khinzir kerana suka makan harta khinzir.

  1. Ada yang tidak bertangan dan tidak berkaki. Mereka ini suka menyakiti orang-orang sekampungnya.

  1. Ada yang berupa khinzir kerana mereka mempermudah-mudahkan sembahyang lalai dalam sembahyang.

  1. Ada pula yang bangkit dengan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking yang sentiasa menggigit-gigit dan menyengat-nyengat. Mereka ini dunia susah hendak mengeluarkan zakat.

  1. Ada yang berkeadaan di mana darah yang amat busuk sentiasa keluar dari mulut mereka. Orang ini suka berbohong dalam perniagaan.

  1. Ada yang sampai terasing daripada manusia serta badannya sangat busuk daripada bangkai.Mereka ini suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia, tidak takut pada Allah.

  1. Ada yang terpotong halkum, keadaannya tercerai dari leher. Orang ini selalu sanggup untuk bersaksi bohong.

  1. Ada yang bangun dari kubur tiada lidah dan mengalir darah busuk dari dalam mulutnya. Orang itu malas mengucap dua kalimah syahadah.

  1. Ada pula yang berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas langit. Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluan mereka. Mereka itu suka buat zina semasa hidup.

  1. Ada yang berkeadaan muka hitam dan perutnya penuh dengan api neraka. Mereka ini suka memakan harta anak yatim secara zalim.

  1. Ada pula yang bangun dengan mengidap penyakit kusta dan sopak. Mereka inilah yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya.

  1. Ada yang gigi mereka seperti tanduk lembu. Lidah mereka terjelir hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa keluar daripada perut mereka. Mereka adalah orang yang suka meminum arak.


Dipetik daripada peristiwa Israk Mikraj Rasulullah SAW.

Friday, October 14, 2011

MENGAPA ORANG SUKA MENJADI KAYA

Suka sangat kita menjadi kaya. Kaya sebenarnya besifat subjektif. Kaya wang, kaya budi, kaya anak, kaya kesihatan dan macam-macam jenis kaya lagi. Tetapi orang selalunya nampak kepada kaya harta. Mengapa kaya harta sangat disukai oleh manusia sajak zaman berzaman lagi.

Sila beri pandangan anda mengapa agaknya kaya menjadi fokus utama bagi kebanyakan manusia.

1.  .........................................................................................................................................................

2.  .........................................................................................................................................................

3.  ........................................................................................................................................................

Adakah kaya penting? Ini juga suatu persoalan yang perlu dijawab. 

1.  .........................................................................................................................................................

2.  .........................................................................................................................................................


Adakah kaya boleh menjamin kebahagiaan kita ?

1.  .........................................................................................................................................................

2.  .........................................................................................................................................................

Jenis kaya apakah yang anda paling sukai

1. .........................................................................................................................................................

2.  .......................................................................................................................................................


@ saja suka-suka aja. mungkin ini boleh mengubah persepsi kita tentang kaya.


@ sila beri pandangan anda. mungkin pandangan anda boleh mengubah persepsi orang lain dan seterusnya dapat menjurus kepada tujuan hidup yang hakiki

Tuesday, October 4, 2011

Separuh Rakyat Malaysia Keturunan Penzina ?

  
Oleh Mohd Nasir Awang

Agaknya tidak ramai yang membaca pendedahan fakta amat memalukan berhubung tahap kebobrokan akhlak remaja kini oleh sebuah tabloid harian pada Sabtu, 1 Oktober. Mungkin juga di kalangan yang terbaca paparan itu pula tidak lagi menganggapnya suatu yang besar atau mengejutkan. Justeru, tidak ada yang peduli jika pun isu sebegitu serius tidak diperpanjangkan perbincangannya.

Laporan dimaksudkan itu mendakwa setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan seks luar nikah. Disebutkan antara faktor utama mendorong perbuatan sundal itu ialah perasaan ingin mencuba, terutama sebagai akibat langsung daripada menonton video lucah.

Namun fakta lebih mendukacitakan ialah apabila dikatakan kebanyakan remaja terbabit adalah lulusan universiti, tidak terkecuali yang memiliki PhD. Ertinya, ia bukan hanya dilakukan kalangan remaja liar dan tidak berpelajaran, tetapi turut melibatkan mereka yang memiliki pencapaian akademik agak memuaskan.

Laporan itu memetik hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010. Ia melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak, terdiri daripada 2,457 orang atau 49 peratus remaja lelaki, manakala 2,559 atau 51 peratus responden adalah perempuan.

Di antara dapatan kajian itu, seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah.

“Berdasarkan kaji selidik itu juga, sebanyak 52 peratus (2,608) menyatakan rakan mereka melakukan seks sebelum berkahwin dan 76 peratus (3,812) lagi mempunyai rakan pernah menonton video serta memiliki bahan lucah,” laporan itu memetik kata Ketua Pegawai Operasi IPPBM, Zakariah Md Sam.

Sangat membimbangkan kita apabila masyarakat seakan tidak lagi sensitif dengan fakta amat menggerunkan mengenai tahap kebobrokan akhlak remaja kini. Lontaran fakta itu tidak disambut mana-mana media.

Bahkan tabloid yang bertanggungjawab mendedahkannya pun mengambil sikap sekadar melaporkan, seolah-olah hanya untuk mengisi tiga suku mukasuratnya untuk hari itu sahaja. Sedangkan ia diletakkan di bawah kategori laporan ‘EKSKLUSIF’, yang pada kebiasaannya mengundang pelbagai reaksi dan ulasan.

Namun dalam kes ini tiada laporan atau tinjauan susulan dibuat tabloid itu sendiri. Tiada pihak, sama ada aktivis sosial atau warga prihatin yang disorot pandangan dan reaksi mereka. Tidak sepertimana ghairahnya media arus perdana memanjangkan isu filem dan drama tema hantu dan seram yang didakwa berunsur tahyul dan tidak mendidik masyarakat.

Media juga di masa sama masih berselera menghidupkan isu hudud. Atas sebab sangat nyata, ia bermaksud mencari keuntungan politik buat parti pemerintah dan di masa sama menjerumuskan parti-parti pembangkang ke kancah pertikaian lebih buruk.

Namun secebis fakta mengenai akhlak remaja kita itu, walau pun tidak begitu menarik  minat masyarakat (atau sebenarnya sengaja tidak mahu diperpanjangkan media arus perdana?), sebenarnya turut mempunyai hubungkait dengan isu hudud yang digemariuhkan itu.

Lebih-lebih lagi jika kita melihat hukum hudud dan lain-lain cabang hukum Islam itu sebagai salah satu mekanisme dikemukakan Islam untuk menyedar dan mendidik masyarakat dalam ertikata yang lebih luas dan menyeluruh. Bukankah itu yang dapat kita fahami dari firman Allah dan sabda Junjungan s.a.w. tatkala menghuraikan fungsi dan maksud hukum-hukum syariat?

Justeru, amat kena pada masa tatkala khalayak penguasan politik sedang ghairah memperkecil dan memperlekeh usaha mendaulatkan hukum Islam, tiba-tiba fakta kesumbangan akhlak remaja tadi didedahkan.

Sebabnya, pendedahan itu juga menyeret pertikaian terhadap tahap kecemerlangan dan keberkesanan sistem pendidikan negara. Bahawa ia hanya mampu melahirkan insan yang cemerlang akademik, tetapi sangat bobrok akhlak dan jelik keperibadian mereka.

Apa tidaknya apabila kajian tadi mengesahkan 76 peratus daripada yang mengakui terlibat dengan gejala memalukan itu adalah pemegang ijazah, diploma serta PhD?

Justeru, memang tepat sergahan dilontarkan Zakariah, “... jadi bila mereka ini sudah terbabit dengan isu moral, bagaimana golongan ini mampu dijadikan teladan kepada belia lain yang memandang tinggi status mereka sebagai orang yang berpendidikan tinggi”.

Kebetulan pula laporan itu diterbitkan  pada hari sama Perdana Menteri membuat kenyataan mendakwa sistem pendidikan negara kita adalah yang terbaik, malah lebih baik daripada sistem diamalkan beberapa negara maju.

Sudah tentu dengan terdedahnya dapatan kajian tadi, dakwaan Dato’ Seri Najib Razak itu dengan sendirinya layak dipersoalkan. Kajian IPPBM itu tidak menyokong dakwaan beliau itu. Apakah kita tergamak berbangga dan mendakwa sistem pendidikan kita terbaik sekiranya separuh produk dihasilkannya terbabit seks bebas?

Apa gunanya mereka berjaya dan cerdik tetapi tidak tahu di mana letaknya dosa-pahala? Berbanggakah kita dapat menghasilkan ramai cerdik-pandai atau anak-cucu yang sangat cemerlang akademik mereka, sedangkan di masa sama mereka amat bobrok akhlak dan tingkahlaku?

Tidak dinafikan sistem pendidikan sedia ada telah berjaya menghasilkan ramai cerdik pandai, cendikiawan pelbagai bidang dan jurusan. Kita tidak kurang peguam dan pakar undang-undang, tetapi tidak sedikit antara mereka menggunakan pengetahuan luas dalam perundangan untuk memutarbelit fakta dan menukar harta orang menjadi miliknya.

Kita berbangga memiliki ramai anak bangsa bergelar doktor, tetapi antara mereka juga ada yang aktif merosakkan generasi muda dengan sindiket penjualan ubat batuk dan seumpamanya.

Apa guna kita ada pakar sejarah, tetapi cenderung memberikan gambaran positif dan memuji kaum penjajah? Apa guna kita ada penggiat ekonomi yang dianggap berjaya dan kononnya membanggakan kaum bimputera, sedangkan hampir setiap langkah mereka menyempurnakan kerja diiringi ‘duit kopi’ atau ‘tumbuk rusuk’?

Pernah disiarkan media sebelum ini mengenai tinjauan terhadap sikap penuntut universiti tempatan berhubung isu rasuah. Bayangkan antara mereka secara terus terang mengakui tidak ada masalah untuk melakukan perbuatan merosakkan itu sekiranya keadaan menghendaki mereka berbuat demikian.

Tinjauan juga pernah dibuat di kalangan penuntut perempuan nmengenai kemungkinan mendapat pasangan lelaki berusia. Sebahagian tidak sedikit antara mereka menyatakan tidak kisah bersuamikan orang tua, asalkan orang itu kaya dan dapat menjamin keperluan kewangan mereka.

Dua kes ini menunjukkan fokus pemikiran penuntut universiti kita sudah terarah kepada mencari dan menjamin kepentingan kebendaan. Soal moral dan nilai positif masyarakat nampaknya sudah tiada dalam perkiraan mereka.

Itu belum lagi kita sebut soal adab sopan dalam tuturkata dan perlakuan mereka, terutama di khalayak awam. Tidak ada rasa hormat terhadap orang tua, bercakap lucah dan kotor. Berkelakuan tidak senonoh, berpakaian macam orang tidak bertamadun dan berbagai lagi perlakuan memualkan.

Lebih teruk lagi, mereka bukan sahaja biadab terhadap sesama manusia, malah tidak kesah untuk berlaku biadab terhadap suruhan dan larangan Tuhan. Apatah lagi mereka membesar dalam suasana sekalian pembesar dan orang terhormat dalam masyarakat bercakap mempertikaikan kewibawaan hukum Tuhan. Segenap saluran media massa pula memberikan gambaran positif terhadap kenyataan dan pendirian sedemikian.

Sebagai kelompok yang banyak membuat keputusan dalam hidup berpandukan perkiraan logik akal, golongan remaja ini terdorong berfikir lebih jauh. Terlintas di fikiran mereka, jika para pemimpin yang berkuasa mengatakan hukum Islam yang datang dari Tuhan itu tidak sesuai dilaksanakan di zaman ini, bermakna Tuhan yang menciptakan hukum itu juga tidak sesuai disembah dan diagungkan.

Lebih meyakinkan lagi mereka ini apabila kenyataan para pemimpin yang kurang asas ilmu agama itu diperakui atau tidak langsung dibantah oleh sebilangan para ulama dan mereka yang dikenali sebagai cendikiawan Islam.

Lalu mereka ini membesar dan membentuk kematangan hidup dalam suasana tidak ada keyakinan terhadap hukum dan peraturan Tuhan. Apabila keagungan hukum suci itu pun sudah tidak dipahat di hati, maka apatah lagi hukum dan undang-undang ciptaan manusia?

Logiknya, jika hukum Tuhan pun mereka tidak rasa apa-apa untuk permainkan, maka apakah kita boleh harap mereka akan merasa gerun dan takut untuk melanggar hukum dan undang-undang manusia? Akibatnya, mereka tidak akan takut untuk rasuah, salahguna kuasa, menyeleweng wang syarikat atau pejabat, menipu dalam perniagaan dan berbagai perbuatan tidak bermoral.

Isu ini sebenanya sangat berkait rapat dengan agenda pembinaan generasi masa depan negara. Kita yang telah dewasa kini tidak akan mampu menongkat langit. Kita semakin menua dan dimamah usia. Kanak-kanak dan remaja hari ini lah bakal mengambil alih segala aktiviti penghidupan. Mereka lah yang akan mengisi segenap tahap penggerak masyarakat, bermula daripada pengikut dan pencacai bawahan sehingga ke pemimpin atasan.

Maka apakah dengan keperibadian remaja yang ada kini segala kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi hari ini mampu dikekalkan hingga ke masa depan? Lebih membimbangkan lagi, apakah peribadi-peribadi yang berkemungkinan bakal mengambilalih kepimpinan masyarakat sebegitu dapat kita harapkan untuk menjaga agama di masa depan?

Timbunan kes-kes salah laku sosial, jenayah berat dan keganasan seksual membabitkan remaja yang terhidang di media saban hari kebelakangan sebenarnya mengisyaratkan hakikat amat menakutkan tentang masa depan negara.

Sepertimana digambarkan hasil kajian IPPBM tadi, jika kecenderungan itu dibiarkan berterusan dan peratusan mereka yang terlibat dengan seks bebas di kalangan generasi akan datang kekal melebihi 50 peratus, maka dapat kita congak apa hakikat yang bakal dihadapi negara kita 30 atau 40 tahun nanti.

Tatkala para remaja yang separuh mereka terdiri daripada bekasan penzina ini menjadi warga paling tua dalam masyarakat, dan tabiat buruk mereka turut sama dilalui ibubapa segenap lapisan umur selepas mereka, maka sudah tentu ketika itu kesemua yang bergelar anak atau cucu kepada mereka adalah beribubapa atau berdatuk-nenekkkan manusia yang ada rekod akviti seks luar nikah.

Alangkah malunya muka dan walangnya hati apabila dikatakan pada ketika itu separuh daripada jumlah rakyat Malaysia adalah dari keturunan bekas penzina! Mohon dijauhkan Allah dari hakikat itu.

Justeru, mengapa tidak kita beri peluang kepada hukum Islam memperbetulkan keadaan dan menyelamatkan negara dari kemungkinan menakutkan itu?

-----------------------------------

Sila fikirkan : blogger

Tuesday, August 9, 2011

TAHAP KEIMANAN PENENTU ‘TAKUT’ KEPADA ALLAH



Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir
Disusun semula oleh Shohor Haroon

Waktu siang atau malam, di mana juga kita berada patut ditanamkan dalam hati rasa takut kepada Allah. Dengan kata lain, sepanjang masa kita hendaklah sentiasa berasa takut kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Berlakunya kemungkaran dan maksiat di sekeliling kita hari ini disebabkan oleh tiadanya rasa takut akan azab dan seksaan yang maha pedih dari Allah dalam hati mereka yang melakukannya. Ini menunjukkan mereka tidak takut sama sekali dengan Allah, Tuhan pencipta sekalian alam ini. Takut adalah sifat terpuji dan patut ada dalam hati setiap mukmin yang ingin mendapatkan takwa. Dengan adanya perasaan takut membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripada melakukan kemungkaran yang mendatangkan dosa hingga menjerumuskan ke api neraka di akhirat kelak. Jika kita ada rasa takut kepada Allah, sudah pasti kita tidak akan berani melanggar perintah-Nya. Rasa takut akan mendorong seseorang itu benar-benar menghambakan dirinya kepada Allah. Semua perintah Allah akan dipatuhinya dan larangan ditinggalkannya.


KAEDAH:
Seorang ulama telah berkata: “Cucilah empat perkara dengan empat perkara. Cucilah wajahmu dengan air matamu, cucilah lidahmu dengan zikir kepada Penciptamu, cucilah hatimu dengan rasa takut kepada Tuhanmu dan cucilah dosamu dengan bertaubat kepada Penguasamu.” Walaupun Rasulullah SAW bersih daripada melakukan sebarang dosa dan dijamin Allah dengan syurga, di hati Baginda tertanam rasa takut kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akulah manusia yang paling takut kepada Allah di antara kamu semua itu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri” (Surah al-Anfal, ayat 2).

Orang yang betul-betul kenal dan takut kepada Allah hanya lahir di hati mereka yang mempunyai sikap tawakal atau penyerahan pada Allah. Dengan kata lain, hanya orang beriman saja yang akan dapat merasai rasa takut itu. Ibn Abbas meriwayatkan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Ada dua mata yang tidak disentuh api neraka, iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut kepada Allah dan mata yang celik kerana terjaga dalam peperangan di jalan Allah.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika berasa gentar hati seorang mukmin kerana takut kepada Allah, maka runtuh dosanya bagaikan daun kering yang runtuh dari pohonnya” (Dari kitab Tanbihul Ghafilin II).


TAHAP TAKWA:
Sebenarnya rasa takut kepada Allah ini bergantung kepada tingkat keimanan seseorang. Jika sekadar percaya adanya Allah tetapi tidak dapat berasakan takut kepada Allah, maka iman orang itu amat tipis dan lemah kerana tidak dapat berasa gerun kepada neraka serta azab Allah. Dengan kata lain, tidak ada rasa takut dan gerun kepada Allah menandakan hati seseorang itu telah mati. Al-Quran mengingatkan mengenai seksaan pedih bakal diterima orang yang derhaka (tidak takut) dan balasan nikmat bagi mereka yang melakukan kebaikan (takut). Lukman Al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Berharaplah kepada Allah dengan sesungguhnya sehingga kamu berasa aman dari tipu daya dan takutlah kepada-Nya supaya kamu tidak terputus dari rahmat dan kasih sayang-Nya.”


INDICATOR/PETUNJUK:
Secara umum kita dapat mengenal orang yang memiliki rasa takut kepada Allah melalui tanda seperti banyak membaca al-Quran, rajin mengerjakan solat wajib dan sunat, selalu membelanjakan hartanya di jalan Allah, mengeratkan silaturahim dan menjauhkan daripada perkara mungkar.


KESIMPULAN:
Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah An-Naziat, ayat 40-41)

Monday, August 1, 2011

BETULKAN ‘MIND SETTING’ KITA TERHADAP PUASA, BUAT SEMUA KERANA ALLAH


SELAMAT BERPUASA.

Selamat berpuasa diucapkan kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Tahniah kerana anda adalah antara orang-orang  yang berpuasa.  Teruskan perjuangan hingga ke Ramadhan yang terakhir. Bulan ini adalah bulan yang penuh dengan keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah SWT kepada manusia yang beriman.

Puasa yang kita kerjakan ini adalah antaranya untuk menguji keimanan kita kepada Allah. Setakat manakah tahap iman kita kepada Allah.  Menjaga segala yang membatalkan puasa, ditambah pula dengan penjagaan panca indera kita dan ditambahkan lagi dengan kerja-kerja mendekatkan diri dan hati kepada Allah, maka kita tahu bahawa orang itu mempunyai iman yang kukuh serta mendapat kenikmatan dalam beribadat. Mereka tahu tujuan beribadat dan tidak lagi dipengaruhi oleh puji-pujian mansia. Ini adalah tahap puasa kategori ‘tinggi’.

Malangnya dalam kehidupan kita seharian kita sendiri boleh lihat ditempat kerja kita bahawa ada yang curi makan. Beli nasi bungkus (dalam plastic hitam selalunya). Padan juga dengan orang yang menjual nasi tersebut. Langsung tidak rasa berdosa. Nak kata mereka itu kerja kuat seperti buruh binaan tak juga. Kerja kat pejabat apalah teruk sangat. Jadi di mana iman mereka. Setakat mana iman mereka. Memang orang tak nampak semasa kita makan, tapi Tuhan Nampak. Tak malu ke ? Itulah, pokok pangkalnya ialah iman.

Sekiranya kita bekerja keras, tak boleh tahan, boleh pengsan kalau berpuasa, ok puasalah dahulu. Sehingga sampai kepada keadaan yang agak darurat baru berbuka. Kita boleh terima yang orang itu memang terpaksa. Tetapi jika dari awal lagi sudah set dalam otak yang kita tak mahu berpuasa sebab letih, tak boleh tahan maka keadan ini tak betul!  Bagaimana tahap iman kita pada waktu itu? Memang ada hukum diharuskan berbuka. Setakat mana kita berusaha untuk berpuasa itu lebih penting. Kalau nak dikira sibuk, tak ada relak, penat  maka tak boleh puasa lagi. Lain kali saya kadak (ganti) puasa tersebut. Rasanya bila. Bilakah kita akan berpuasa untuk ganti. Silap-silap sampai ke liang lahatpun kita tak ganti lagi. Ini semua adalah iman. Iman !

KESIMPULANNYA IALAH MIND SETTING KITA KENA BETUL, BUAT SEMUA KERANA ALLAH.

Wednesday, July 20, 2011

Amalan Puasa Sunat Syaaban Persiapan Tempuh Ramadan

Latihan awal pelengkap nilai tambah ibadat wajib

DETIK akhir Syaaban adalah proses pecutan terakhir menghadapi Ramadan. Dalam mana-mana pertandingan besar, latihan penting kerana tanpa latihan yang bersungguh, maka dikhuatiri persembahan terbaik menjadi luntur.
Begitu juga Ramadan, menghadapinya bukan isu biasa tetapi sesiapa yang gagal mengutip peluang keemasan pada Ramadan itu, celaka jawabnya. Walaupun ibadah wajib itu suatu yang dibudayakan, nilai tambah amalan sunnah dalam Ramadan peluang setahun sekali.
Sebab itu Nabi SAW mengaminkan doa dipohon Jibril AS ketika Baginda menaiki mimbar. Ketika itu Jibril berdoa: “Celaka seseorang yang masuk Ramadan, puasa pada siangnya dan solat pada malamnya kemudian meninggal dan tidak diampuni dosanya dan ia dimasukkan ke neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Justeru, langkah drastik perlu dilakukan untuk menghadapi Ramadan. Contohnya, latihan berpuasa sunat Syaaban ibarat ibadah solat sunat rawatib yang menjadi ‘pengapit’ solat fardu, sebelum dan sesudahnya.

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lathaif Al-Ma'arif: “Seperti solat rawatib adalah solat yang mempunyai keutamaan kerana ia mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya, demikian puasa Syaaban kerana puasa Syaaban sangat dekat dengan puasa Ramadan; maka puasa itu mempunyai keutamaan dan puasa ini boleh menyempurnakan puasa wajib pada Ramadan.”

Pada masa sama, ada banyak lagi riwayat sahih menunjukkan Nabi SAW memperbanyakkan puasa pada Syaaban seperti hadis Ummul Mukminin Aisyah: “Bahawasanya Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyatakan, Baginda tidak berbuka. Dan Baginda berbuka (tidak berpuasa) hingga kami menyatakan, Baginda tidak berpuasa.”

Jelas kepada kita Baginda mengkhususkan Syaaban untuk memperbanyakkan puasa dibandingkan bulan lain. Ini disebabkan bulan berkenaan sering dilupakan kerana berada antara Rejab dan Ramadan.

Kemuliaan puasa Syaaban dijelaskan dalam hadis Usamah Zaid: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan lain seperti engkau berpuasa pada Syaaban. Rasulullah menjawab: Bulan itu (Syaaban) adalah bulan yang dilupakan manusia, iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan. Bulan itu bulan diangkatnya amal manusia kepada Tuhan semesta alam. Aku suka amalku diangkat sementara aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan an-Nasaie)

Walaupun memperbanyakkan puasa Syaaban itu satu sunnah, timbul persoalan adakah disunnahkan berpuasa penuh sepanjang Syaaban kerana ada riwayat antaranya dari Ummu Salamah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Baginda pernah mencantumkan Syaaban dan Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)

Diriwayatkan Abu Daud: “Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa lengkap dalam mana-mana bulan dalam setahun kecuali Syaaban iaitu Baginda mencantumkannya dengan Ramadan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ulama berselisih pandangan dalam memahami hadis itu kerana ada mengatakan maksud sebenar berpuasa sepanjang Syaaban hanya dilihat dari aspek bahasa. Imam Ibn Hajar berkata, maksud Baginda berpuasa penuh sepanjang Syaaban ialah berpuasa hampir keseluruhannya saja.

Kemudian Ibn Hajar mengatakan, maksud keseluruhannya pada kebiasaan orang Arab bererti ‘hampir keseluruhan atau hampir kesemuanya’.

Kemudian timbul pula isu bolehkah berpuasa selepas pertengahan Syaaban. Perkara ini menjadi perselisihan ulama berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang maksudnya: “Jika sudah tiba pertengahan bulan Syaaban maka janganlah kalian berpuasa.” (Hadis riwayat al-Khamsah – Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah)
Pandangan kalangan Mazhab Syafie, menegah dari berpuasa bermula 16 Syaaban. Ada yang menganggap makruh malah ada menafsirkan larangan yang dimaksudkan di sini ialah haram sama sekali.

Bagaimanapun, aliran mazhab Syafie tidak mengharamkan secara menyeluruh. Pengharaman ini dikecualikan kepada mereka yang sudah biasa berpuasa sebelum pertengahan Syaaban sama ada berpuasa pada hari tertentu seperti Isnin dan Khamis.

Jumhur ulama pula membolehkan berpuasa selepas separuh Syaaban kerana mereka mengklasifikasikan hadis itu sebagai hadis daif. Antaranya Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in yang berhujjah hadis ini hadis mungkar kerana diriwayatkan oleh al-‘Alla’ bin Abdurrahman.

Turut mendaifkannya ialah al-Baihaqi dan al-Tahawi. Pendapat ini juga disokong oleh imam Mazhab Hanbali iaitu Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya al-Mughni.

Bagi yang memegang pandangan jumhur ulama, maka ia boleh berpuasa selepas separuh bulan Syaaban manakala yang melihat kehebatan hujah itu lebih tepat mengikut pandangan Mazhab Syafie dan ulama terkemudian, maka lebih baik ia meninggalkan berpuasa selepas separuh Syaaban.

Kecuali bagi mereka yang melazimkan puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa nazar dan puasa ganti. Begitu juga bagi mereka yang sudah mula berpuasa dari awal Syaaban. Namun penulis lebih kuat berpegang kepada pandangan kedua dari Mazhab Syafie dengan mengambil kata-kata dari Al-Qari:

“Larangan berpuasa separuh akhir Syaaban bertujuan menjauhi perkara buruk kerana ia adalah suatu rahmat kepada umat supaya mereka tidak menjadi lemah dalam menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan nanti. Tetapi bagi mereka yang berpuasa sepanjang Syaaban, sudah terbiasa dengan puasa dan ini tidak akan menyukarkan mereka melakukan ibadat itu.”

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Saturday, July 9, 2011

Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi

Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi


2011/07/09
KUALA LUMPUR: Kongres Profesor Negara yang berakhir semalam meluluskan 14 resolusi berdasarkan setiap kluster ilmu untuk membantu kerajaan menjayakan usaha transformasi negara seperti berikut:
  • Mengukuhkan dasar, proses perancangan dan tadbir urus sektor sumber asli dan alam sekitar; transformasi ekonomi yang disokong sistem pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan berasaskan sasaran keberhasilan konkrit dan jelas.
  • Kod tadbir urus sektor awam dan kaedah penguatkuasaan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan.
  • Pembangunan modal insan berpengetahuan dan kemahiran tinggi serta sistem keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dicadang bagi memastikan ICT menjadi pemacu utama transformasi.
  • Pengukuhan Polisi Inovasi Negara bagi memastikan kelestarian ekosistem inovasi tanpa sempadan iaitu membabitkan semua peringkat masyarakat bermula di sekolah hingga industri dan agensi kerajaan.
  • Bagi memastikan negara tidak terdedah kepada ancaman penyusutan sumber dan krisis tenaga, pembangunan kecekapan penggunaan tenaga, pengoperasian perkakasan, perancangan bandar dan pemerkasaan penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dicadangkan.
  • Sokongan padu terhadap penegasan dasar mengekalkan nisbah 60:40 bagi pelajar aliran sains berbanding pelajar bukan sains yang merosot pada tahap 20:80 ketika ini bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
  • Usaha menjana dan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains sosial disifatkan kritikal bagi membekalkan data sosial mencukupi untuk pelaksanaan transformasi negara.
  • Menekankan kepentingan sistem pendidikan diperkukuhkan menerusi pendekatan kesepaduan bermula pendidikan dasar hingga tertiari yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berorientasikan bakat, bukan peperiksaan.
  • Akses perkhidmatan kesihatan secara saksama dengan memberi keutamaan kepada aspek pencegahan penyakit secara menyeluruh dan berkesan.
  • Menitikberatkan kesepaduan sosial sebagai prasyarat untuk menjamin transformasi negara yang seimbang.
  • Bagi memartabat industri farmaseutikal, kerajaan dicadang mewujudkan keupayaan sebagai pengeluar ubatan halal bagi mengelak kebergantungan terhadap pasaran luar yang diragui kesesuaiannya dan boleh mengancam kesihatan rakyat.
  • Turut diusul bagi bidang kesihatan adalah masalah ketagihan dadah dipertanggungjawabkan bersama Kementerian Kesihatan kerana ia dikenal pasti sebagai penyakit.
  • Meminta kerajaan memastikan inti pati pembangunan dikawal sistem nilai budaya yang murni untuk mengelak penyelewengan, mengekalkan moral tinggi serta menegakkan prinsip keadilan sosial.
  • Bagi memastikan sekuriti makanan, negara dicadang memberi perhatian khusus kepada isu penggunaan tanah, koordinasi antara pelbagai kementerian dan agensi, dasar insentif, kebergantungan kepada buruh asing, mekanisme pemasaran, pemindahan teknologi, perubahan iklim, sumber air dan dana pelaburan.
  •   
  •  
  •  
  • KOMEN:
  • 14 PERKARA YANG DICADANGKAN ITU MEMANG HEBAT. KALAU DILAKSANAKAN DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH, NIAT YANG SUCI, SAYA SANGAT YAKIN NEGARA AKAN MAJU.

  • SATU CARA MUDAH UNTUK RAMAIKAN ORANG YANG ADA MASTER, PHD, PENYELIDIK, DAN LAIN-LAIN SENANG SAIA IAITU BERI INSENTIF YANG SEPADAN. RAMAI ORANG AKAN BELAJAR.TERUTAMA CIKGU-CIKGU. INI, BELAJAR SUDAH HABIS DUIT, BILA SELESAI PUN TAK ADA APA-APA JUGA. MANALAH ORANG NAK MINAT.
  •  
  • PERSOALAN KEDUA IALAH BERKENAAN DASAR 60:40.  PENURUNAN NISBAH KEPADA 20:80 DIFIKIRKAN ADA PERKAITAN  DENGAN CARA PENYAMPAIAN ILMU ITU SENDIRI YANG TIDAK BERKESAN. PEMBETULAN YANG DIBUAT SEKARANG ADALAH SANGAT BAIK.  PENERIMAAN SESUATU KONSEP ILMU BANYAK BERGANTUNG KEPADA KAEDAH PENGAJARAN YANG BERKESAN DAN TIDAK KURANG PENTINGNYA IALAH KESEDIAAN PELAJAR BAGI MENERIMA ILMU TERSEBUT.

  • KESEDIAAN PELAJAR YANG DIMAKSUDKAN IALAH PENGETAHUAN SEDIA ADA, DISIPLIN, MINAT, MOTIVASI ATAU AKHLAK PELAJAR TERHADAP GURU DAN ILMU ITU SENDIRI. CONTOHNYA KALAU DISIPLIN PELAJAR GAGAL DIBENTUK, KESEMUANYA AKAN GAGAL. PERCAYALAH.
  •  
  • DENGAN MELEDAKNYA TEKNOLOGI MAKLUMAT DIDAPATI GOLONGAN REMAJA SEKARANG LEBIH BANYAK MENUMPUKAN KEPADA HIBURAN, TENTULAH KECINTAAN KEPADA ILMU AKAN KURANG. SETERUSNYA PERGAULAN SEMAKIN BEBAS, CAKAP MERAPU, PENDEDAHAN AURAT DAN BERBAGAI LAGI. MEREKA NAMPAKNYA GAGAL SEIMBANGKAN ANTARA KEMAJUAN MATERIAL DENGAN KEMANTAPAN ROHANI.
  • SEPATUTNYA DISIPLIN INI JANGAN DIBEBANKAN KEPADA GURU-GURU SAHAJA, PIHAK LAIN JUGA HARUS MEMAINKAN PERANAN SEPERTI IBU BAPA, DAN MEDIA MASSA. ADA SEBILANGAN GURU TAKUT MEMAINKAN PERANAN. TIADA SIAPA YANG AKAN MEMBELA MEREKA JIKA SEDIKIT KESILAPAN BERLAKU. SEMUA LEPAS TANGAN. MASYARAKAT TELAH MELUPAKAN JASA GURU MALAH SELALU 'MENGHENTAM' GURU (BUKAN SEMUA). 
  •  
  • MOGA-MOGA NEGARA KITA YANG TERCINTA TERUS MAJU DENGAN ANAK BANGSA KITA SEBAGAI PERENCANA YANG UNGGUL.
  •  
  •  MAAF, SILA FIKIR-FIKIRKAN.