Perkataan masjid dari segi bahasa berasal dari kata kerja sajada yang bererti patuh, ta'at serta tunduk dengan penoh hormat dan takzim. Meletakkan dahi, kedua tangan, lutut dan kaki ke bumi, yang kemudian dinamai sujud oleh Syria't adalah bentuk lahiriah yang paling nyata dari makna-makna di atas. Manakala perkataan masjid adalah 'isim makan'/nama yang menunjukkan tempat, yang bererti tempat bersujud. Oleh kerana itu bangunan yang dikhususkan untuk melakukan solat dinamakan masjid yang bererti tempat bersujud. Namun demikian fungsinya bukan sekadar itu malah ianya tempat melaksanakan segala aktiviti manusia yang mencerminkan kepatuhan kepada Allah swt. Lantaran itu ia sebagai madrasah bagi orang Islam untuk menerima pengajaran Islam dan bimbingannya, sebagai dewan pertemuan dan tempat untuk mempersatukan berbagai-bagai unsur kekabilahan dan sisa-sisa perselisiihan jahiliah, sebagai tempat untuk mengatur segala urusan, sebagai dewan untuk bermesyuwarat dan tempat Rasulullah saw mengeluarkan arahan serta peraturan-peraturan dalam urusan pentadbiran. Memandangkan masjid adalah tempat yang suci maka beberapa peraturan dan adab-adab masjid hendaklah dipatuhi dan dikikuti.
Di antara adab-adab tersebut seperti berikut:
1. Ketika masuk ke dalam masjid anda hendaklah mendahulukan kaki kanan daripada kaki kiri dengan membaca doa "Allahhumma salli wasallim 'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad. Allahummaghfirli zunubi waftahli abwaaba rahmatik." Ertinya "Segala puji bagi Allah, Ya Allah, Ya Tuhanku. Turunkanlah selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Muhammad, Ya Tuhanku. Ampunlah semua dosa-dosaku dan bukalah bagiku semua pintu-pintu rahmatmu." Rasulullah saw suka mendahulukan anggota kanan ketika memakai kasut, ketika berjalan, ketika bersuci dan ketika melakukan semua pekerjaan yang baik. Sabda Rasulullah saw yang diriwayat oleh Aisyah R,anha yang mafhumnya " Adalah Nabi Muhammad saw amat suka mendahulukan anggota kanan ketika memakai kasut, ketika berjalan, ketika bersuci dan ketika melakukan semua pekerjaan yang baik." Hadis Riywayat oleh al-Bukhari". Dan ketika keluar dari masjid dahulukan kaki kiri daripada kaki kanan dengan membaca doa " Allahumma salli wasallim 'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad. Allah humma inni as-aluka min fadhlik". Ertinya "Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon kepadumu rezki yang berkat dari limpah kurnia mu" (H.R. Muslim,Abu Daud,Nasa'i, Ibn Majah dan lain-lain).
2. Jika mulut anda berbau busuk kerana makan bawang besar atau bawang kecil yang masih mentah dan seumpamanya makruh hukumnya anda masuk ke dalam masjid. Untuk menghilangkan baunya ialah dengan bersiwak iaitu dengan menggosok gigi dan sekitarnya dengan apa juga benda dan alat asalkan ia dapat menghilangkan bau tersebut.
Amalan bersiwak atau menggusuk gigi hukumnya sunat dan ia ditunut bukan sahaja ketika mulut berbau busuk, malah ketika membaca al-Quran, berzikir, bangun dari tidur, lebih-lebih lagi ketika hendak mendirikan solat dan seumpamanya. Dalilnya hadis Ibn Umar bahawa Nabi Muhammad saw bersabda yang maksudnya "Siapa yang memakan pokok ini( bawang putih) maka jangan sekali-kali dia mendekati masjid ini."(H.R. Bukhari dan Muslim). Juga hadis Anas "Sesiapa yang memakan pokok ini, maka dia hendaklah jangan mendekati masjid dan janganlah bersembahyang bersama-sama kami."(H.R. Bukhari dan Muslim) Dan hadis Jabir yang bermaksud " maka hendaklah dia menjauhi kami."(H.R. Bukhari) Dalam hadis lain Rasulullah saw bersabda " Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali mengambil wudhuk". (H.R.Bukhari)
3. Bercakap-cakap dalam masjid tidak dilarang sama ada ia berkaitan dengan urusan dunia maupun yang berkaitan dengan urusan akhirat asalkan ianya dibenarkan oleh syarak dan tidak menganggu jama'ah yang sedang solat sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Rasulullah saw tidak bangkit daripada sembahyangnya sewaktu Baginda sembahyang Subuh sehingga naik matahari. Apabila matahari naik, Baginda pun bangun. Menurut Jabir, mereka(sahabat) bercakap-cakap tentang perkara jahiliah bergelak ketawa dan senyum".(H.R. Ahmad dan Ashab as-sunan). Kalau menganggu jamaah sekalipun ianya bacaan al-Quran hukumnya tetap ditegah. Dalilnya sabda Rasulullah saw yang bermaksud " Bahawa Rasulullah saw pada suatu ketika pergi ke masjid, didapatinya banyak orang bersembahyang dan banyak pula orang yang meninggikan suara dalam membaca al-Quran, maka sabdanya " Sesungguhnya orang yang sedang bersembahyang itu sedang munajat dengan Tuhannya, maka sewajarnya dia mengetahui apa yang diucapkannya itu. Dan jangan pula sebahagianmu mengangkat suaranya mengatasi yang lain dalam membaca al-Quran".(H.R. Ahmad)
4 Bila berada di dalam masjid anda dilarang bertengkar, mencari barang yang hilang, berjual beli, melakukan akad sewa menyewa dan seumpamanya.Tujuannya supaya jangan berlaku hangar bingar Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim,Ahmad dan Ibn Majah yang bermaksud "Sesiapa yang mendengar seseorang mencari barang yang hilang di dalam masjid, maka hendaklah dia berkata, Allah swt. tidak akan mengembalikannya kepada engkau kerana masjid tidak dibuat untuk ini." Dalam riwayat al-Tirmizi pula hadis yang bermaksud "Apabila kamu melihat orang berjual atau membeli di dalam masjid,maka hendaklah kamu katakan Allah swt tidak akan menguntungkan kamu dan apabila kamu melihat orang yang mencari sesuatu yang hilang di dalam masjid, maka hendaklah kamu katakan Allah swt tidak akan memulangkannya kepada mu". (H.R. Abu Daud,Termizi,Nasai )
5. Anda tidak dilarang bersyair dan bernasyid dalam masjid jika kata-katanya mengandungi hikmah, puji-pujian terhadap Islam atau anjuran berbuat kebajikan. Dalilnya hadis Said bin Musayyab: Satu ketika Umar al-Khattab telah melintas dekat Hasaan bin Thabit sewaktu dia sedang menyampaikan sebuah syair. Beliau lalu menumpukan perhatian kepadanya sambil berkata, bernasyidlah engkau di dalam masjid kerana ia dilakukan oleh orang yang lebih baik daripada kamu. Beliau kemudian menulih kepada Abu Hurairah lalu berkata. Demi Allah swt aku minta kepastianmu, bukankah Rasulullah saw pernah menyebut "Sahutilah aku, Ya Tuhanku, bantulah dia dengan ruh al-Qudus?" Maka jawab Abu Hurairah: "Ya" (H.R. Ahmad dan ashaab assunan)
6. Apabila anda masuk ke dalam masjid sama ada kerana hendak melakukan solat atau menghadiri majlis ilmu dan seumpamanya ambillah kesempatan melakukan amalan iktikaf sunat, sekalipun sebentar sama ada ianya dilakukan di luar bulan Ramdhan atau sebaliknya tetapi dengan syarat ketika beriktikaf anda hendaklah berniat iktikaf dan bersih daripada hadas besar. Kemudian lakukanlah amalan-amalan seperti membaca al-Quran, berzikir,beristighfar, dan lain-lain lagi supaya amalan iktikaf tersebut mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Contuh niat iktikaf ialah "Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah Ta'ala." Dalil perintah beriktikaf terdapat dalam surah al-Baqarah:2:125 yang bermaksud "Dan telah kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang thawaf, yang iktikaf, yang rukuk dan yang sujud"
7. Masuk kedalam masjid tanpa melakukan solat tahiyat masjid makruh hukumnya. Makanya sejurus anda masuk kedalam masjid samada kerana menunaikan solat atau sekadar lalu sahaja di dalamnya dan sebelum duduk, anda disunat melakukan tahiyat masjid dua raka'at sebagai tanda menghormati rumah Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid janganlah dia duduk sebelum menunaikan dua raka'at." (H.R. Bukhari dan Muslim).
Ia boleh dilakukan bila-bila masa tanpa terikat dengan sebarang waktu kecuali jika anda masuk ke dalam masjid pada waktu-waktu yang diharamkan sembahyang kerana sebab perbuatan seperti selepas solat Subuh sehingga mataharai terbit dan selepas solat Asar hingga matahari terbenam atau haram kerana sebab masa seperti ketika matahari di tengah-tengah langit atau semasa langit kekuning-kuningan atau dari matahari terbit hingga tingginya tujuh hasta atau solat-solat yang tidak ada sebab dan waktu seperti solat sunat mutlak dan solat tasbih atau solat yang ada sebab tetapi sebabnya datang selepas solat itu seperti solat istikharah, solat ihram haji atau umrah, solat hajat dan safar maka haram hukumnya jika disenghajakan. Jika dilakukan juga ianya tidak sah kecuali di Masjidil Haram.
8. Sekiranya anda masuk ke dalam masjid terus mendirikan solat selain solat jenazah maka dengan melakukan solat tersebut anda sudah dianggap melakukan tahiyat masjid dan mendapat pahalanya. Demikian juga anda tidak dituntut melakukan tahiyat masjid jika anda mendapati solat jemaah sedang didirikan. Sebaliknya jika anda berjumpa Imam sedang menyampaikan khutbah juma'at anda boleh melakukannya dengan dua raka'at yang ringkas.
Bagitu juga anda tidak dituntut melakukannya jika anda senghaja duduk terlebih dahulu sebelum melakukan tahiyat masjid kecuali kerana terlupa atau jahil dan tempoh duduk tersebut tidak lebih daripada kadar masa menunaikan solat dua rakaat maka bolehlah anda terus berdiri dan melakukannya. Kalau anda bercadang juga hendak melakukannya setelah berlalu tempoh tersebut anda hendaklah keluar dari masjid, kemudian masuk semula dan terus mendirikannya. Dalil perintah melakukan solat sunat tahiyat masjid terdapat dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid janganlah dia duduk sebelum dia sembahyang lebih dahulu dua raka'at" Lafaz niatnya ialah "Usalli sunnata tahiyatil masjidi rak-a'taini lillahita'ala." Ertinya, Sahaja aku solat sunat tahiyat masjid dua raka'at kerana Allah ta'ala.
9. Jika anda masuk ke dalam Masjidilharam, dan bercadang hendak melakukan thawaf anda dikehendaki melakukan dua jenis tahiyat. Tahiyat pertama untuk Baitullah iaitu dengan melakukan thawaf, sementara tahiyat yang kedua untuk masjidil haram ia itu dengan mendirikan solat tahiyat masjid dua raka'at seperti biasa. Cara yang lebih afdhal anda lakukan ialah anda thawaf dahulu, selepas itu anda solat sunat thawaf dua raka'at. Dengan melakukan solat sunat thawaf maka dengan sendirinya berlakulah tahiyat masjid sekali gus atau selepas anda thawaf anda solat empat raka'at. Dua raka'at yang pertama diniatkan untuk tahiyat masjid dan dua raka'at lagi diniatkan untuk sunat thawaf. Kalau sebaliknya tidak sah. Jika anda masuk ke dalam masjidil haram dan tidak bercadang melakukan thawaf memadailah anda melakukan tahiyat masjid sahaja.
10. Jika anda mendapati muazzin sedang azan, anda tidak dituntut melakukan solat sunat tahiyat masjid pada ketika itu. Apa yang patut anda lakukan ialah menjawab azan sehingga selesai. Dengan berbuat demikian anda mendapat dua pahala, pahala menjawab azan dan pahala tahiyat masjid.
11. Makruh hukumnya anda keluar dari masjid selepas azan kecuali kerana uzur syari'e baharulah anda boleh keluar. Ini berdasarkan hadith al-Sha'tha yang bermaksud " Kami sedang duduk bersama Abu Hurairah r.a. di dalam masjid, lalu muazzin melaungkan azan. Seorang lelaki telah bangun dan berjalan keluar dari masjid diikuti oleh Abu Hurairah dengan pandangannya sehingga dia telah keluar dari masjid. Abu Hurairah lalu berkata " Orang ini sebenarnya menderhakan kepada Aba al-Qasim"(H.R.Muslim)
12. Membiasakan kanak-kanak yang sudah mumaiyiz datang ke masjid memang digalakkan dalam usaha mentarbiyahkan mereka dengan suasana masjid tetapi bagi kanak-kanak yang belum mumaiyiz hukumnya makruh kerana di bimbangi boleh menjejaskan keheningan dan ketenangan ketika solat dan kemungkinan mendatangkan kekotoran dalam masjid. Walaubagaimana pun ia tidak sampai keperingkat haram kerana telah sabit di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah saw membawa Umamah binti Zainab r.a. dan membawanya tawaf bersama Baginda di atas untanya. Ini tidak menafikan hukum makhruh kerana walaupun ia dilakukan oleh Rasulullah saw, ia dilakukan bagi menunjukkan keharusannya. Menjaga kebersihan masjid adalah dituntut sebagaimana hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban dari 'Aisyah r.anha. bahawa "Nabi saw memerintahkan untuk membangunkan masjid di desa-desa dan diperintahkannya pula agar dibersihkan dan diharumkan".
13. Anda hendaklah turut menjaga kebersihan masjid sekalipun anda bukan orang yang di pertanggungjawab khusus menjaga kebersihannya kerana menjaga kebersihan adalah sebahagian daripda iman. Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Bila masjid bersih dan indah, sejuk mata memandang, menimbulkan keheningan dan ketenangan serta memelihara imej Islam pada pandangan orang bukan Islam. Sabda Rasul yang bermaksud "Sesungguhnya masjid ini tidak layak untuk tempat kencing dan kotor-kotoran. Ia hanya tempat untuk zikrullah dan membaca al-Quran"(H.R. Muslim)
14. Apabila muazzin selesai kamat anda dilarang melakukan sunat rawatib dan lain-lainnya seumpama solat tahiyat masjid. Larangan ini supaya anda dapat menunaikan solat di permulaan waktunya. Kalau sebaliknya anda tidak dapat fadhilah takbirratul ihram bersama-sama imam. Dalilnya, sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Apabila sembahyang jamaah telah mula dilakukan maka tidak ada lagi sembahyang kecuali sembahyang fardhu." (H.R.Muslim)
15. Ketika imam sedang menyampaikan khutbah jumaat anda hendaklah mengikutinya dengan penuh khusuk dan perhatian supaya khutbahnya menjadi iktibar kepada anda dan menjadi panduan dalam menempuh kehidupan seharian anda. Rasulullah saw mengibaratkan orang yang bercakap ketika khatib membaca khutbah seumpama se-ekor keldai. Dalilnya Ahmad meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas: Sesiapa yang bercakap pada hari Jumaat sewaktu imam sedang membaca khutbah maka orang itu seumpama keldai yang membawa kitab dan sesiapa yang berkata, "Diam" maka tiada pahala Jumaat baginya". Untuk lebih jelas tentang hukum hakam bercakap-cakap ketika khatib berkhutbah,menurut pendapat ke-empat-empat mazhab boleh anda dapati penjelasannya oleh Abd. Rahman Al-Jazirii dalam Kitab Mazaahibl al-arbaah saperti dibawah:
Menurut pendapat mazhab Malikiyah: haram hukumnya ketika khutbah dan ketika imam duduk antara dua khutbah, tidak kira sama ada anda atau jemaah yang lain dapat mendengar khutbah tersebut atau sebaliknya. Semuanya diharamkan bercakap walaupun diserambi masjid atau di jalan-jalan yang bersambung dengan masjid. Bagitu juga tidak diharam bercakap menurut mazhab Maliki ketika khatib berada di atas mimbar dan sebelom memulakan khutbahnya dan diakhir khutbah yang kedua ketika khatib memulakan bacaan doa untuk kaum muslimin atau sahabat Rasulullah saw atau khalifah baginda.
Di antara percakapan yang diharamkan ketika khutbah ialah memberi salam dan menjawabnya. Juga termasuk perbuatan yang haram ialah melarang orang yang bercakap ketika khutbah dibaca. Sebagaimana haram bercakap maka haram juga menggunakan isyarat kepada orang yang sedang bercakap. Bagitu juga diharam minum dan mendoakan orang yang bersin. Bagi orang yang bersin disunat berdoa ketika khatib berkhutbah iaitu dengan membaca hamdalah secara senyap.
Bagitu juga ketika khatib menyebut ayat tentang siksaan atau menyebutkan neraka maka disunat kepada anda dan jamaah memohon perlindungan secara perlahan dan ketika khatib berdoa disunatkan jamaah mengaminkan tetapi dimakruhkan jika menyaringkannya dan haram jika berlebih-lebihan. Sama dengan membaca amin ialah memohon perlindungan(ta'awuz), istighfar dan membaca selawat ke atas Nabi jika terdapat sebab bagi semuanya itu. Namun demikian disunat membaca secara senyap. Ada pun melakukan sunat nafal hukumnya haram sejurus khatib keluar untuk menyampaikan khutbah. Berpegang kepada kae'dah, keluar sahaja khatib untuk membaca khutbah mengharamkan solat dan ucapannya mengharamkan bercakap.
Bagi mazhab Hambali pula haram bercakap ketika khatib membaca khutbah kalau anda berhampiran dengan khatib dan dapat mendengar khutbahnya, sama ada perckapan anda itu dalam bentuk zikir atau selain daripadanya. Walau bagaimana pun berselawat ke atas Nabi Muhammad saw secara perlahan ketika nama baginda disebut adalah harus hukumnya. Bagitu juga harus mengaminkan doa iman dan bertahmid secara perlahan ketika bersin dan mendoa orang yang bersin dan menjawab salam, bukan dengan isyarat Bagi anda yang jauh berada dari khatib yang tidak dapat mendengar khutbah khatib, lebih afdhal melakukan zikir tetapi hendaklah dengan perlahan agar tidak menganggu orang lain dari mendengar khutbah. Demikian juga tidak haram bercakap sebelum khatib memulakan khutbahnya dan salepasnya dan juga ketika khatib duduk diam di antara dua khutbah dan ketika khatib memulakan doa kerana khatib sudah selesai menyampaikan rukun khutbah jumaat kerana ketika doa dibaca tidak wajib diam. Kalau anda dapati ada jamaah bercakap ketika khutbah, anda jangan melarangnya dari meneruskan perckapannya dengan ucapan. Sebaliknya gunakan bahasa isyarat. Walaupun pada asalnya bercakap ketika khutbah hukumnya haram tetapi kerana untuk menyelamatkan se-seorang daripada ditimpa bahaya ia dibolehkan malah diwajibkan seperti menyelamatkan orang buta dari terjatuh atau dari bahaya api, atau dari patukan ular dan seumpamanya.
Hukum bercakap-cakap ketika imam membaca khutbah menurut mazhab Syafi'e pula bergantung kepada keadaan. Jikalau anda duduk berhampiran dengan khatib dan dapat mendengar khutbahnya terutama rukun-rukunnya hukumnya makruh tanzih miskipun anda tidak dapat mendengarnya secara jelas. Adapun khutbah khatib yang di luar rukun-rukun khutbah maka tidak dimakruhkan bercakap di tengah-tengah khatib menyampaikannya. Sebagaimana tidak dimakruhkan bercakap sebelum khutbah walaupun khatib telah keluar dari khalwatnya. Bagitu juga tidak makruh anda bercakap setelah khutbah selesai sebelum kamat dan tidak makruh bercakap di antara dua khutbah. Demikian pula tidak makruh anda bercakap jika anda jauh dari khatib iaitu sekira-kira anda diam anda tidak dapat menedengar khutbah tersebut. Namun demikian anda disunat berzikir. Dalam keadaan-keadaan berikut anda tidak makruh bercakap ketika imam membaca khutbah seperti ketika mendoa orang yang sedang bersin,malahan sunat hukumnya, bersalawat ke atas nabi Muhammad saw ketika nama baginda disebut, menjawab salam wajib sekalipun makruh hukumnya bagi yang memberi salam ketika imam membaca khutbah. Bagitu juga anda boleh bercakap ketika menyelamatkan orang yang sedang dalam bahaya dan mengaminkan doa khatib dan melakukan solat tahiyat masjid dua raka'at secara ringkas iaitu dengan melakukan perkara yang wajib sahaja. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Apabila salah seorang daripada kamu datang ketika imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dirikan sembahyang dua raka'at".(H.R.Ahmad,Muslim dan Abu Daud).
Menurut mazhab Hanafi bercakap ketika khatib menyampaikan khutbah hukumnya makruh tahrim sama ada anda berada jauh dari khatib atau pun sebaliknya mengikut pendapat yang asah, tidak kira sama ada percakapan anda itu berhubong dengan keduniaan maupun zikir dan barang yang seumpamanya. Jika anda mendengar nama Nabi disebut hendaklah anda berselawat dalam hati sahaja. Tidak mengapa memberi isyarat dengan tangan dan kepala anda jika anda melihat kemungkaran. Sebagaimana bercakap ketika khatib berkhutbah hukumnya makruh tahrim maka dimakruhkan juga melakukan solat sebagaimana terdahulu menurut kesepakatan ahli mazhab atau pun ketika khatib keluar dari khalwat maka ketentuan hukum juga demikian menurut mazhab Abu Hanifah. Sebab keluarnya khatib memutuskan solat dan bercakap-cakap. Termasuk percakapan yang dimakruh ialah menjawab salam dengan lisan dan hati. Menjawab salam itu tidak wajib sebelum selesai dari khutbah atau sesudahnya. Sebab memulai dengan ucapan salam tidak diizinkan oleh syarak pada waktu itu, bahkan melakukan dosa. Jadi tidak wajib menjawabnya. Demikian juga menjawab orang yang bersin. Dan dimakruhkan bagi khatib memberi salam kepada jamaah tetapi tidak termasuk percakapan yang dimakruhkan iaitu menyampaikan peringatan agar terhindar dari binatang buas dan seumpanya atau pun bercakap kerana khuwatir tentang keselamatan si buta dari bahaya.
Menurut kesimpulan yang dibuat oleh Sayid Sabik' "Jamhur ulama sependapat bahawa mendengar khutbah itu wajib, dan bercakap ketika khatib berkhutbah haram, sekalipun percakapan itu berupa perintah untuk kebaikan atau larangan dari kejahatan, dan tiada bezanya apakah seseorang dapat mendengar khutbah itu atau tidak"
16. Jika anda sedang membaca al-Quran, tiba-tiba muazzin azan, hendaklah anda segera memberhentikan bacaan al-Quran itu untuk menjawab azan serta menghayati kandungannya kerana masa untuk membaca al-Quran itu banyak, sedangkan masa untuk menjawab azan hanyalah ketika itu sahaja. Kalau meneruskan bacaan al-Quran ketika azan dilarang, sudah pasti bercakap-cakap semasa azan tidak terkecuali daripadanya.
17. Jika anda terdengar azan ketika sedang dalam solat, anda tidak dikehendaki menjawabnya kerana menganggu kekhusyukan anda melainkan anda di luar solat baharulah anda disunat menjawabnya apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz " Haiya 'alassolah" dan "Haiya 'alalfalah" di jawab dengan " Lahaulawala Quwata illa billah" dan bagi lafaz "Assolatukhairum Minan Nauum" di jawab dengan "Sadaqta wa bararta". Menurut hukum sesiapa yang mendengar azan disunat menjawabnya, kecuali ketika anda sedang melakukan perhubongan kelamin dan sedang berada dalam tandas. Namun demikian Anda dibolehkan menjawabnya(mengulanginya) menurut jumhur ulamak, setelah anda selesai daripada melakukan perhubongan kelamin dan keluar dari tandas dan jarak masa di antara perbuatan tersebut dan masa azan tidak begitu lama.
18. Kalau muazzin sudah azan, anda tidak disunat melakukannya lagi. Memadai dengan azan muazzin tersebut kerana azan sunat kifayah hukumnya.
19. Jika ditakdirkan anda mendengar azan berulang kali seperti mendengar azan dari beberapa tempat yang lain, menurut pendapat sesetengah ulamak Syafi'e termasuk Imam An-Nawawi anda dikehendaki menjawab semuanya kerana menurut hukum siapa yang mendengar azan dia hendaklah menjawabnya. Jika anda tidak menjawab azan yang pertama, tetapi menjawab azan yang kedua dan seterusnya, makruh hukumnya.
No comments:
Post a Comment